Anda di sini

De Bruyne puji impak Guardiola bagi gelaran Pemain Terbaik PFA

Advertisement
DE BRUYNE
DE BRUYNE

LONDON: Kevin De Bruyne memuji pengaruh Pep Guardiola selepas menjadi pemain pertama dari Manchester City yang dinamakan sebagai Pemain Terbaik untuk Persatuan Pemain Profesional (PFA) di England.

Kebanyakan pemain dalam pasukan impian PFA dipenuhi oleh pemain dari kelab juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool (lima pemain) sementara penyerang Manchester United, Marcus Rashford menerima anugerah merit kerana peranannya dalam badan amal kemiskinan kanak-kanak.

City ketinggalan 18 mata di belakang Liverpool di tangga kedua saingan Liga Perdana Inggeris musim 2019/2020 tetapi De Bruyne, yang menjaringkan 13 gol dan mengumpan 20 gol, dipilih oleh rakan pemainnya.

“Ini adalah satu penghormatan besar, dipilih dari rakan pemain anda, pemain pesaing dari pasukan lain yang sentiasa menentang anda dalam padang. Undian mereka untuk pemain terbaik adalah hebat sekali,” kata De Bruyne.

“Ia mungkin pelik bahawa saya adalah pemain pertama dari City yang memenanginya, selepas melihat semua pemain hebat yang  menang sebelum ini dan mereka yang masih bermain. Namun ia menarik untuk mewakili kelab.”

Pemain  tengah antarabangsa Belgium itu memuji pengaruh pengurus kelab, Guardiola, kerana memberikan beliau  kebebasan untuk menyerlah selepas musim 2018/2019 yang penuh dengan kecederaan.

“Kami bercakap kerana mengenainya tentang pasukan tetapi dalam banyak cara, beliau tahu apabila beliau memberikan arahan tentang apa yang harus dilakukan oleh pasukan, saya akan mendengar,” tambah De Bruyne.

“Tetapi apa yang lebih penting, beliau memberikan saya banyak kebebasan; saya tidak  tahu kenapa, ia hanya caranya di antara kami.

“Beliau tahu saya akan sentiasa memberikan fokus kepada pasukan dan kemudian sememangnya jika saya boleh membantu secara peribadi, saya akan melakukannya.”

Lima wakil Liverpool dalam pasukan impian adalah Jordan Henderson, Trent Alexander-Arnold, Andy Robertson, Virgil Van Dijk dan Sadio Mane.

Nick Pole (Burnley), Caglar Soyuncu dan Jamie Vardy (Leicester), David Silva (Man City) kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, juga dipilih dalam senarai pasukan impian PFA. — AFP

Advertisement