Anda di sini

Jalur Gemilang berkibar megah di dasar lautan

Advertisement
 Para peserta Program Merdeka@Komuniti Eksplorasi Negaraku di Lankayan Island Dive Resort.
BERSAMA: Para peserta Program Merdeka@Komuniti Eksplorasi Negaraku di Lankayan Island Dive Resort.

PROGRAM Merdeka@Komuniti Eksplorasi Negaraku anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Sandakan bagi tahun ini melabuhkan tirainya dengan mengunjungi Lankayan Island Dive Resort (Pulau Lankayan), pada Selasa.

Mengambil masa lingkungan sejam setengah menaiki bot dari jeti di Sandakan, lebih 50 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi telah menyertai program itu yang julung kali diadakan.

Para peserta berkumpul di jeti APMM Sandakan seawal jam 7 pagi sebelum memulakan perjalanan menaiki bot menuju ke Pulau Lankayan. Selain daripada santapan pemandangan laut yang indah, para peserta turut menikmati basahnya hujan sepanjang perjalanan.

Setibanya di resort Pulau Lankayan, para peserta dibawa menikmati sarapan pagi dan seterusnya mendengar taklimat ringkas mengenai pencegahan wabak COVID-19 oleh pegawai kesihatan selain taklimat mengenai pulau itu sendiri daripada kakitangan resort.

Menerusi acara perasmian, Pegawai Penerangan Daerah Sandakan, Geraldine Voo Yee Wen dalam ucapannya berkata ia merupakan kali pertama pihaknya menganjurkan program mengibarkan Jalur Gemilang di dasar laut.

Katanya, JaPen Daerah Sandakan cuba membawakan kelainan dalam mengekpresikan semangat kemerdekaan pada sambutan tahun ini.

 Jalur Gemilang berkibar megah di dasar lautan.
MEGAH: Jalur Gemilang berkibar megah di dasar lautan.

"Selalunya jabatan kami membuat program secara 'indoor', tetapi sekarang kami cuba menumpukan perhatian untuk aktiviti 'outdoor'. Program yang julung kali diadakan ini agak mencabar dari aspek pengurusan dan memerlukan penglibatan pelbagai pihak untuk membantu menjayakannya.

"Oleh itu, jabatan kami amat berterima kasih kerana program ini mendapat sambutan yang sangat baik. Kami ingin mewujudkan kolaboratif yang lebih utuh dengan pelbagai pihak dari segi kerjasama menerusi aktiviti atau lebih dikenali sebagai Strategi Lautan Biru.

"Jabatan kami berharap dapat menjalin kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak bagi memastikan kesalinghubungan dapat dieratkan agar matlamat menjadikan rakyat dan masyarakat bermaklumat dapat dipertingkatkan," katanya.

Sebelum ini, dua Program Merdeka@Komuniti Eksplorasi Negaraku anjuran JaPen Daerah Sandakan telah menjelajah ke Pulau Selingan dan Pulau Bakkungan Kecil pada 16 Ogos selain aktiviti mendaki dan mengayuh basikal di RDC Sandakan sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Antara jabatan dan agensi yang hadir termasuk Jabatan Penyiaran Sandakan, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan dan Beluran, Angkatan Pertahanan Awam Sandakan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Sandakan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sandakan, pengamal media serta beberapa rakan strategik JaPen Daerah Sandakan.

Mengulas lanjut, Geraldine berkata Program Merdeka@Komuniti Eksplorasi Negaraku itu merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia yang bertujuan untuk menyemarak dan menggelorakan semangat patriotism dan cintakan negara dalam bulan kebangsaan.

Katanya, melalui program itu, jabatan berkenaan cuba melibatkan penyertaan komuniti setempat dengan tujuan untuk menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat terutama anak muda dan belia yang merupakan peneraju masa hadapan.

Menurutnya, banyak perancangan program-program sempena bulan kemerdekaan terpaksa diubahsuai supaya bersesuaian dengan keadaan semasa kerana penularan wabak COVID-19.

 Aktiviti snorkel bagi peserta program.
PESERTA: Aktiviti snorkel bagi peserta program.

Jelasnya, orang ramai juga perlu mengubah cara hidup agar dapat menyesuaikan diri dalam keadaan yang perlu hidup bersama COVID-19, tetapi dengan mengamalkan norma baharu serta mengaplikasikan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan wabak itu tidak merebak sekaligus menjamin kesihatan dan keselamatan orang ramai terjaga.

Selesai acara perasmian, Geraldine mewakili JaPen Daerah Sandakan telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pemangku Pengurus Lankayan Dive Resort Azman Samad.

Acara kemuncak apabila beberapa peserta program membuat aktiviti selam sambil mengibarkan Jalur Gemilang di dasar laut, manakala sebahagian peserta yang lain berpeluang melakukan aktiviti snorkel.

  • oleh
  • Advertisement