Anda di sini

Dua wartawan Australia lari dari China

Advertisement
 Seorang anggota polis separa tentera berkawal di luar kedutaan Australia di Beijing, semalam. — Gambar AFP
KRISIS TERBAHARU: Seorang anggota polis separa tentera berkawal di luar kedutaan Australia di Beijing, semalam. — Gambar AFP

SYDNEY: Dua wartawan Australia bergegas keluar dari China kelmarin selepas polis cuba untuk menyoal siasat mereka, menurut majikan mereka semalam.

Pengunduran wartawan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) Bill Birtles dan koresponden Australian Financial Review (AFR) Michael Smith berlaku sejurus selepas China menahan seorang wartawan Australia berprofil tinggi yang bekerja bagi rangkaian rasmi CGTN TV.

ABC menyatakan Birtles, yang berada di Beijing, dan Smith, yang bekerja dari Shanghai, telah berlindung di pejabat diplomatik Australia selama beberapa hari sebelum dibenarkan untuk meninggalkan negara.

Kedua-dua mereka meninggalkan Shanghai ditemani diplomat Australia kelmarin dan tiba di Sydney awal semalam.

Insiden berlaku ketika hubungan diplomatik bertambah buruk di antara kedua-dua kerajaan dan selepas penahanan bulan lepas Cheng Lei, rakyat Australia yang bertugas sebagai pembaca berita perniagaan untuk CGTN.

Pihak berkuasa China tidak memberikan sebarang sebab bagi penahanan Chen.

ABC menyatakan kementerian luar negara Australia memberikan amaran kepada Birtles pada minggu lepas bahawa beliau harus meninggalkan China namun sehari sebelum pelepasan beliau yang dijadualkan Khamis lepas tujuh anggota polis telah datang ke rumahnya waktu tengah malam dan menegaskan beliau tidak dibenarkan untuk pergi.

Pihak polis menyatakan mereka ingin menyoal siasat Birtles mengenai satu kes keselamatan negara, mendesak beliau untuk bersembunyi di kedutaan.

Birtles disoal siasat polis lewat minggu tersebut dengan kehadiran beberapa diplomat Australia dan pengharaman perjalanan ditarik balik, kata ABC.

AFR berkata, Smith turut dikunjungi anggota polis pada malam yang sama di Shanghai serta kedua-dua mereka telah disoal siasat berhubung dengan kes terhadap Cheng.

“Insiden ini menyasarkan dua wartawan, yang akan melakukan tugas-tugas laporan seperti biasa, adalah amat dikesali dan mengganggu serta tiada dalam kepentingan bagi hubungan kerjasama di antara Australia dan China,” ketua pengarang AFR Michael Stutchbury dan pengarang Paul Bailey berkata dalam satu kenyataan.
Australia awal tahun ini memberikan amaran kepada rakyatnya bahawa mereka berdepan risiko penahanan semberono di China.

Hubungan yang mulai tegang di antara Australia dan China, rakan kongsi dagangan terbesarnya, lebih dua tahun lepas ketika pihak berkuasa Australia mula bertindak terhadap apa yang dilihat sebagai campur tangan politik yang semakin berkembang di China dan penyebaran pengaruh di negara tersebut.

Beijing berang terutama terhadap peranan utama Australia dalam panggilan antarabangsa awal tahun ini bagi satu siasatan mengenai asal usul pandemik koronavirus COVID-19, yang bermula di bandar Wuhan di China.

Sejak itu, China telah mengambil beberapa langkah bagi menangani import utama Australia dan menggalakkan pelajar serta pelancong China bagi mengelakkan negara.

Cheng merupakan rakyat Australia berprofil tinggi yang kedua ditahan di Beijing selepas penulis Yang Hengjun telah ditangkap pada Januari 2019 kerana disyaki mengintip. — AFP

Advertisement