Anda di sini

Saya teruskan usaha perdamaian SUPP, PSB untuk kebaikan komuniti Cina - Abang Johari

Advertisement
 

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata beliau sentiasa berharap perdamaian antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) demi kebaikan komuniti Cina khasnya di negeri ini tetapi kedua-dua pihak tidak sependapat dengannya.

Mengulas kenyataan Presiden PSB, Dato Sri Wong Soon Koh terhadap beliau pada Isnin, Abang Johari berkata perdamaian sentiasa menjadi dasarnya sejak berlaku perpecahan dalam SUPP.

Menurutnya, ketika SUPP berpecah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, ketika itu, pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) memutuskan masalah tersebut harus diselesaikan oleh parti yang berbalah dan bukan dasar gabungan parti negeri untuk campur tangan dalam masalah dalaman ahli-ahlinya.

"Dato Sri Wong Soon Koh dan kumpulan dipecat oleh SUPP tetapi beliau dikekalkan dalam kerajaan kerana pucuk kepimpinan mahukan keterangkuman dan perpaduan dalam kalangan Cina serta penglibatan kaum itu dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata bagaimanapun, masalah itu berlarutan sehingga Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) mengambil alih sebagai ketua menteri.

Abang Johari menambah, kumpulan Wong juga dibenarkan menggunakan simbol BN pada Pilihan Raya Umum yang lalu, menunjukkan dengan jelas hasrat pucuk kepimpinan mahu menyatukan kaum Cina.

"Pendaftaran SUPP hampir dibatalkan (oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan) apabila Wong yang dipecat oleh parti itu menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP), kemudian kerajaan yang dibentuk dikenali 'BN-Plus' berharap dua pihak berpecah itu boleh bekerjasama demi kebaikan komuniti Cina," jelasnya.

Abang Johari mendedahkan Tok Nan telah mengarahkan beliau merasmikan majlis pelancaran UPP pada 2015 dan seterusnya majlis penjenamaan semula UPP kepada PSB (2017).

"Apabila saya mengambil alih sebagai ketua menteri, dasar perdamaian itu diteruskan dengan mengekalkan Wong sebagai menteri. Semua ini bertujuan untuk memberi masa kepada kedua-dua kumpulan ini berdamai.

"Malangnya, secara sengaja atau sebaliknya, kepimpinan PSB 'mengikat' ahli-ahli parti komponen GPS, walaupun mengetahui tindakan itu akan menjejaskan kerja berpasukan dalam GPS.

"GPS mempunyai dasar 'you touch one, you touch all' dan tindakan PSB itu bertentangan dengan usaha kita untuk menyatukan rakyat Sarawak," ujarnya.

Abang Johari berkata berdasarkan aktiviti-aktiviti terkini PSB, jelas membuktikan parti itu tidak berminat bekerjasama dan menentang GPS dengan terus menjadikan ahli parti-parti politik lain yang tidak berpuas hati sebagai ahlinya.

"Saya sudah meminta ketua-ketua masyarakat serta pemimpin-pemimpin korporat membantu dalam usaha perdamaian ini tetapi tidak berjaya dan selebihnya terserah kepada rakyat untuk menilai," katanya.

Wong pada Isnin menerusi kenyataan akhbar membidas kenyataan Abang Johari ketika merasmikan Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Sabtu secara tidak langsung menyelar tindakan ahli-ahli politik yang tidak berpuas hati serta bermasalah menubuhkan parti baru.

Dalam kenyataan Wong itu, beliau berkata Abang Johari telah memainkan peranan penting dalam penubuhan UPP dan PSB.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu juga berkata beliau meletak jawatan dari kabinet negeri selepas pemimpin-pemimpin SUPP mendesak agar rombakan kabinet dilakukan bagi menyingkirkan pemimpin-pemimpin PSB dari kerajaan negeri.

Advertisement