Anda di sini

Pengarah wanita hitam Perancis pecahkan tradisi

Advertisement

PARIS: Sama seperti heroin dalam filem sulungnya yang mendapat pujian, ‘Cuties’, Maimouna Doucoure tahu bagaimana rasanya tidak dipandang serius.

Potretnya yang menakjubkan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Perancis dan rakan-rakannya, yang menjadi dewasa dalam kehidupan yang terperangkap di antara keluarga pendatang yang tradisional dengan budaya pop yang terlalu seksual, memenangi anugerah pengarah terbaik di Festival Filem Sundance pada awal tahun ini.

Namun demikian, walaupun selepas filem pendek arahannya ‘Maman(s)’ (Ibu-Ibu),  sebuah kisah separa autobiografi tentang kehidupan membesar dalam sebuah keluarga yang berpoligami dari Senegal di Paris, menerima beberapa anugerah, ada pihak dalam dunia perfileman Perancis yang sama sekali dingin tentang pengarah berusia 35 tahun itu yang tidak segan-silu glamor.

“Anda yang membuatnya untuknya, bukan?” penerbitnya ditanya oleh seorang tokoh berpengaruh, sebelum diberitahu dengan sangat tegas sekali bahawa segalanya adalah hasil kerjanya sendiri.

“Saya tidak percaya gadis ini membuat filem ini, sifatnya begitu kewanitaan,” tokoh seksis yang tidak percaya itu mengulangi.

Apabila Doucoure menang di Sundance dengan ‘Cuties’ - yang sudah diperolehi oleh Netflix - dia secara terbuka menegur mereka yang meraguinya.

- ‘DILARANG MENARUH IMPIAN’ -

“Saya mahu berkata kepada lelaki ini dan setiap orang yang berpendapat bahawa kewanitaan bermakna anda tidak mempunyai kuasa untuk berfikir, untuk menulis, memimpin dan mencipta, kaum wanita berupaya untuk membuat segalanya,” katanya yang menerima sorakan bergemuruh.

Tetapi artis wanita hitam yang muda itu bukan sahaja perlu mendaki tembok prejudis dari luar, kata Doucoure kepada AFP ketika ‘Cuties’ dikeluarkan di Perancis.

Mereka juga perlu berdepan dengan sabotaj dari masyarakat mereka sendiri dan malah keluarga mereka, katanya.

“Ketika saya kecil, saya dilarang untuk menaruh impian,” kata pengarah itu.

Ibunya, seorang tukang cuci, memberitahunya bahawa membuat filem bukanlah untuk “orang seperti anda” - iaitu orang yang membuat filem tidak kelihatan sepertinya. Dalam erti kata lan, wanita hitam.

“Saya begitu kekurangan contoh ketika saya membesar,” kata Doucoure mengenai zaman kanak-kanaknya dalam sebuah keluarga berpoligami di utara Paris yang diketuai bapanya.

“Televisyen umpama cermin masyarakat, tetapi bagi saya, saya tidak pernah melihat rupa saya di dalamnya. Yang menjadikannya agar sukar kemudian untuk membuka semua kemungkinan yang dapat dibayangkan,” tambahnya.

Tetapi sejak itu, Doucoure sudah membuktikan ibunya dan ramai lagi adalah salah.Dan dia dapat merasakan bahawa dia sedang membuka jalan untuk orang lain, membantu untuk “menumbangkan halangan mental” yang telah menyekat wanita hitam.

Sesungguhnya, dalam ucapan penerimaannya yang bersemangat di Sundance, dia memetik ungkapan Oprah Winfrey bahawa “anda menjadi apa yang anda percaya”.

“Percaya, wahai wanita!” isytihar Doucoure.

Dengan kedua-dua pergerakan #MeToo dan Black Lives Matters yang menyebabkan ‘gempa bumi’ di dalam industri hiburan, dia percaya zaman sedang berubah.

Doucoure dengan bangga menceritakan bagaimana dia berarak bersama aktres Perancis Adele Haenel serta pengarah ‘Girlhood’ dan ‘Portrait of a Lady on Fire’, Celine Sciamma, dalam satu protes di pinggir kota raya Paris berhubung kematian Adama Traore, pemuda hitam yang dilihat ramai sebagai George Floyd Perancis, ketika dalam tahanan polis.

“Keadaan sedang berubah, saya dapat merasakan bahawa saya sedang maju ke depan pada waktu yang tepat,” kata Doucoure.

Dia juga tidak merasakan bahawa dia bersendirian.

Penulis-pengarah hitam dari Britain, Michaela Coel - anak kepada ibu bapa yang berasal dari Ghana - telah menerima pujian untuk sirinya yang lasak mengenai pemerkosaan ‘I May Destroy You’, manakala Issa Rae - yang seperti Doucoure ada asal usul di Senegal - telah menjadi fenomena skrin kecil kerana sirinya ‘Insecure’ dan ‘Awkward Black Girl’, di mana dia turut membawa watak utama, sama seperti Coel.

Dan seorang lagi warga Paris, Mati Dop, memenangi hadiah juri agung di Festival Filem Cannes pada tahun lepas untuk ‘Atlantics’, yang dia buat di Senegal, di mana bapanya yang pemuzik, Wasis Diop, dilahirkan.

Doucoure turut bercakap mengenai kejayaan yang tidak dijangkakan bagi komedi pintar arahan Jean-Pascal Zadi ‘Tout simplement noir’ (Very Simply Black) - antara filem yang paling popular pada musim panas di pawagam Perancis - sebagai satu lagi tanda kemajuan. Tetapi kerja masih banyak lagi.

“Kita memerlukan model yang berlainan sama sekali, untuk meletupkan halangan dengan fiksyen,” kata Doucoure.

“Dari saat kita membuka imaginasi, semuanya tidak akan mustahil.”

Selepas menulis dan menyediakan ‘Cuties’ ketika dia mengandung, dan membuatnya sambil menggendung anak perempuannya, Doucoure berkata dia adalah contoh bagi perkara yang tidak mustahil.

“Datang entah dari mana”, dia bangga untuk menjadi simbol bagi pembukaan budaya perfileman yang biasanya ada klik dan menurutnya “terutama sekali bukan bagi golongan kaya”.

Pengarah itu sekarang sedang mengusahakan dua buah filem baharu, satu daripadanya berkisar sekitar media sosial, yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi - jika koronavirus mengizinkan.

“Apabila gadis-gadis muda dapat menerima 400,000 suka dengan membuat swafoto seksi, kita perlu menawarkan kepada mereka cara lain untuk wujud. Untuk menaruh impian menjadi angkasawan, jurutera atau presiden wanita …”

Atau malah pengarah filem. — AFP

Advertisement