Anda di sini

Penganggur wanita tak mengaku sembunyi kelahiran bayi

Advertisement
Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin, hari ini.

KUCHING: Seorang penganggur wanita mengaku tidak bersalah apabila didakwa oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menyembunyikan kelahiran anak perempuannya, pada 18 Januari lalu. 

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Aida Montong yang menggantikan Majistret Mohd Syukri Mokhtar, menetapkan 19 September depan sebagai sebutan semula kes.

Terduduh, Afiqah Azman, 20, dibenarkan bebas dengan ikat jamin tunai RM3,000 berserta seorang penjamin tempatan. 

Tertuduh dilaporkan membayar ikat jamin tersebut. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuang bayi ke dalam longkang dengan tujuan untuk menyembunyikan kelahiran anak yang baharu dilahirkan, antara jam 7 petang hingga 12 tengah malam pada 18 Januari lalu, bertempat di Bandar Baru Semariang. 

Mengikut laporan terdahulu, tertuduh pergi ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami pendarahan. 

Doktor yang bertugas membuat pemeriksaan ke atas tertuduh dan mendapati dia mengalami pendarahan teruk, selain mempunyai tanda-tanda melahirkan anak dan terdapat kesan koyakan di bahagian kelamin. 

Justeru, doktor berkenaan mengesyaki tertuduh melahirkan anak, namun tertuduh menafikan dan enggan memberitahu apa-apa tentang kelahiran tersebut.

Untuk perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya, tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa dia melakukan perbuatan terbabit kerana diugut bunuh oleh teman lelaki yang seusia dengannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement