Anda di sini

Pegawai Tunisia maut ditikam, tiga penyerang ditembak mati

Advertisement
 Anggota polis forensik memeriksa tempat kejadian yang menyaksikan seorang pegawai maut dan seorang lagi cedera di Sousse, selatan Tunis kelmarin. — Gambar AFP
KECOH: Anggota polis forensik memeriksa tempat kejadian yang menyaksikan seorang pegawai maut dan seorang lagi cedera di Sousse, selatan Tunis kelmarin. — Gambar AFP

SOUSSE: Penyerang bersenjatakan pisau membunuh seorang pegawai Pengawal Negara Tunisia dan mencederakan seorang lagi kelmarin sebelum tiga penyerang itu kemudian ditembak mati dalam pertempuran bersenjata, menurut pasukan tentera yang melabelkannya sebagai serangan pengganas.

Serangan itu berlaku di daerah pelancongan Sousse, bandar tepi laut yang dicengkam serangan militan terburuk di Tunisia sejak beberapa tahun lepas di mana 38 orang, kebanyakannya rakyat Britain, mati dalam serangan tembakan tepi pantai pada 2015.

Pasukan peronda yang terdiri daripada dua anggota Pengawal Negara telah disasarkan dalam serangan bersenjatakan pisau di Sousse, 140 kilometer di selatan ibu Tunis, menurut jurucakap Pengawal Negara Houcem Eddine Jebabli.

“Seorang meninggal dunia sebagai syahid dan seorang lagi mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital,” menurut beliau, ambil menambah bahawa ini merupakan satu serangan pengganas.

Penyerang pada mula merempuh anggota peronda tersebut dengan sebuah kenderaan pada jam 6.40 pagi waktu tempatan.

Selepas serangan bersenjatakan pisau, pasukan keselamatan telah mengejar penyerang yang merampas senjata dan kenderaan anggota tersebut melalui daerah Akouda di kawasan pelancongan El-Kantaoui di bandar itu, kata Jebabli.

“Dalam pertempuran bersenjata tiga pengganas telah terkorban,” menurut beliau, sambil menambah bahawa pasukan keselamatan berjaya menemui semula kereta dan dua pucuk pistol yang dirampas penyerang tersebut.

Presiden Kais Saied, dalam satu lawatan beberapa jam kemudian ke tempat kejadian yang ditutup sepenuhnya menyatakan, pihak polis sedang menyiasat sama ada serangan itu telah dirancang individu atau organisasi.

Perdana Menteri Hichem Mechichi berjanji akan menghapuskan pengganas secepat mungkin, menurut kepada satu kenyataan dari pejabatnya.

Mechichi, yang turut pergi ke tempat kejadian bersama dengan menteri dalam negeri, menggesa penduduk agar tidak berasa takut terhadap penyerang yang dikecamnya sebagai ‘kuman’.

Duta British ke Tunisia Louise de Sousa menyatakan dalam Twitter beliau terkejut ketika mendengar tentang serangan terhadap pasukan peronda Pengawal Negara di Sousse.

Tunisia, sejak revolusi rakyatnya pada 2011, telah dilanda rangkaian serangan militan yang mengorbankan ramai kakitangan keselamatan, orang awam dan pelancong asing.

Satu serangan nekad terhadap pasukan keselamatan yang melindungi kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Tunis telah mengorbankan seorang anggota polis tempatan dan menyebabkan beberapa orang lain tercedera pada Mac.

Tahun 2015 adalah yang paling berdarah dengan tiga serangan besar paling berbahaya diakui kumpulan Islamic State.

Satu serangan di Muzium Bardo di ibu negara pada Mac mengorbankan 21 pelancong asing dan seorang pengawal keselamatan.

Hanya tiga bulan kemudian, 38 pelancong mati dalam kejadian tembakan di Sousse.

Serta pada November tahun sama, satu letupan bom di dalam sebuah bas di tengah Tunis telah mengorbankan 12 pengawal presiden.

Ketika situasi bertambah baik dengan ketara sejak itu, Tunisia mengekalkan perintah darurat.

Serangan terhadap pasukan keselamatan bagaimanapun berterusan, kebanyakannya di kawasan terpencil di sepanjang sempadan dengan Algeria.

Tunisia telah dipuji sebagai satu kisah kejayaan yang jarang berlaku di samping revolusi Arab Spring pada 2011 yang melanda wilayah dan menjatuhkan ramai

Namun negara kecil Mediterranean yang mempunyai kira-kira 11 juta penduduk itu dibayangi krisis ekonomi, dengan kadar pengangguran rasmi 18 peratus dan amat memerlukan bantuan baharu dari Tabung Kewangan Antarabangsa.

Pada minggu lepas, Parlimen Tunisia telah meluluskan kerajaan teknokratik baharu diketuai Mechichi, yang berdepan tugasan berat menangani masalah sosial dan ekonomi yang mendalam di negara Afrika Utara ini.

Perdana menteri berusia 46 tahun itu berjanji akan mengukuhkan semula ekonomi, termasuk sektor pelancongan yang penting, yang telah berkembang semula selepas serangan militan namun terjejas teruk tahun ini akibat pandemik novel koronavirus COVID-19. — AFP

Advertisement