Anda di sini

Latihan selama sebulan sempurnakan persembahan seni pasir tujuh minit

Advertisement
 Lukisan patriotik menggunakan taburan pasir mengiringi persembahan ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Pahang 2020 di Stadium Tertutup Sukpa, baru-baru ini. Walaupun persembahan itu hanya mengambil masa selama tujuh minit, namun artis seni tersebut, Bee Ghee Leng, mengambil masa hampir sebulan untuk ‘mencipta’ jalan penceritaan dan berlatih bagi memastikan setiap lukisan di cermin yang disuluh lampu dari bawah adalah sempurna. — Gambar Bernama
SENI PASIR: Lukisan patriotik menggunakan taburan pasir mengiringi persembahan ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Pahang 2020 di Stadium Tertutup Sukpa, baru-baru ini. Walaupun persembahan itu hanya mengambil masa selama tujuh minit, namun artis seni tersebut, Bee Ghee Leng, mengambil masa hampir sebulan untuk ‘mencipta’ jalan penceritaan dan berlatih bagi memastikan setiap lukisan di cermin yang disuluh lampu dari bawah adalah sempurna. — Gambar Bernama

SENI pasir yang ‘mengiringi’ persembahan deklamasi sajak pada sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat Pahang di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan baru-baru ini menjadi buah mulut orang ramai yang kagum melihat kepantasan artisnya menghasilkan lukisan bertemakan negeri Pahang, kemerdekaan dan perpaduan.

Walaupun persembahan itu hanya mengambil masa selama tujuh minit, namun artis seni tersebut, Bee Ghee Leng, 44, yang menetap di Klang, Selangor mengambil masa hampir sebulan untuk ‘mencipta’ jalan penceritaan dan berlatih bagi memastikan setiap lukisan di cermin yang disuluh lampu dari bawah adalah sempurna.

Bee yang sudah 10 tahun terlibat dengan seni pasir berkata jalan penceritaan lukisan itu diilhamkan bersama dengan pencipta sajak, Teo Wei Sing supaya hasilnya selari dengan bait-bait sajak bertajuk ‘Sembah Setia Kepada Tuanku Di Atas Takhta, Pahang Maju Terus Di Bawah Prihatin Malaysia’.

“Media sosial WhatsApp menjadi penghubung antara kami kerana Cikgu Teo tinggal di Kuantan. Selepas membaca sajak itu, saya mencari gambar yang bersesuaian sebelum dilukis menggunakan pasir dan menghantarnya semula ke Cikgu Teo bagi mendapatkan komen beliau.

“Saya sekali lagi menghantar rakaman video ‘slide show’ lukisan penuh dan selepas kami berpuas hati dengan hasilnya, Cikgu Teo menghantar rakaman suara beliau mendeklamasikan sajak itu supaya saya boleh berlatih melukis untuk diselarikan dengan tempo masa sajak,” katanya semasa dihubungi Bernama.

Cabaran utama lukisan pasir apabila dipersembahkan bersama muzik atau sajak adalah ketepatan masa yang menurut Bee, lukisan yang dimulakan dengan peta negeri Pahang diikuti lukisan antaranya gajah, batik, gadis India memakai cheongsam sebelum diakhiri Jata Negeri Pahang itu setiap satunya mengambil masa kira-kira 20 ke 30 saat untuk dihasilkan.

Tambah pendandan rambut itu, peringatan penting buat dirinya ialah memastikan lukisan Jalur Gemilang dan Jata Negeri adalah tepat, manakala lukisan seperti gajah dan yang lain boleh dibuat secara abstrak.

Bee yang mempelajari seni pasir menerusi video di YouTube ekoran tidak dapat mencari guru semasa mula berjinak-jinak dengan seni itu sedekad lalu berkata apa yang penting adalah untuk tidak panik jika berlaku kesilapan dan segera membetulkannya supaya ia tidak disedari penonton.

Teo, 38, yang merupakan guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di sebuah sekolah menengah di Kuantan, berkata beliau mencadangkan kepada jawatankuasa sambutan supaya deklamasi sajak olehnya diiringi seni pasir bagi mewujudkan penghayatan yang lebih berkesan kepada penonton.

Katanya, selain menarik perhatian penonton, elemen lukisan itu juga membantu mereka untuk lebih memahami maksud sajak tersebut, khususnya kepada golongan muda yang mungkin kurang jelas dengan penggunaan ayat sajak yang dibuat khas oleh beliau bersempena Hari Kebangsaan Ke-63 tahun ini.

“Saya tahu Bee boleh membantu saya dengan karya seni beliau kerana pernah berkolaborasi dengannya sebanyak dua kali sebelum ini, termasuk pada pelancaran Syiling Peringatan dan Setem Kenangan sempena sambutan 40 tahun pemerintahan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pada tahun 2014,” katanya. — Bernama

Advertisement