Anda di sini

Tiga lelaki lepas, bebas daripada tuduhan bunuh di stesen minyak

Advertisement

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat melakukan jenayah itu ke atas seorang lelaki, di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu  selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh, Gan Jia Ji, 22, Yip Kah Hou, 26, dan Woon Kian Hui, 25.

Shahnaz dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu tidak jelas untuk mengaitkan ketiga-tiga tertuduh dalam kes berkenaan.

“Bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil juga tidak sepadan dengan darah yang ditemui di lokasi selain tiada siasatan dilakukan terhadap bukti alibi,” katanya.

Menurut Shahnaz, pihak pendakwaan juga gagal mengaitkan kereta BMW yang digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Gan selaku tertuduh pertama, didakwa dengan niat bersama lima orang yang masih bebas, membunuh Tan Aik Chai, 44, pada kira-kira jam 7.30 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini, pada 17 Disember 2017.

Yip dan Wong serta dua yang masih bebas pula didakwa bersubahat dengan Gan dan lima yang masih bebas membunuh Tan pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Gan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati manakala Yip dan Wong didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang manakala Gan diwakili peguam Datin S.Freda, Che Azlin Farahannis Evani, Foo Fang Leong dan Veeranesh Babu.

Yip pula diwakili peguam Chuah Shyue Chien manakala Wong diwakili peguam Ram Karpal Singh dan Harshaan Zamani.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan itu.

— Bernama

Advertisement