Anda di sini

Tentera junta Mali mulakan rundingan penyerahan kuasa

Advertisement

BAMAKO: Tentera junta Mali memulakan rundingan dengan kumpulan pembangkang kelmarin mengenai janji untuk menyerahkan balik kuasa kepada orang awam, selepas menerima tekanan yang semakin meningkat dari negara jiran selama beberapa minggu selepas ia menggulingkan pemimpin negara tersebut.

KEITA
KEITA
 

Negara Afrika Barat itu sudah sekian lama dihantui keadaan yang tidak stabil, pemberontakan pelampau jihad, keganasan etnik dan rasuah yang berleluasa, seterusnya mendorong sekumpulan askar pemberontak untuk menahan presiden Ibrahim Boubacar Keita pada bulan lepas.

Keita sendiri meninggalkan negara itu pada petang kelmarin untuk mendapatkan rawatan lanjut di Emiriah Arab Bersatu, selepas dua hari di hospital di Mali setelah mengalami serangan angin ahmar ringan.

Junta tentera baharu di Mali telah berikrar untuk berundur selepas tempoh peralihan.

Tetapi mereka menerima tekanan dari negara jiran dan bekas penjajahnya Perancis untuk beralih dengan cepat kepada pemerintahan awam.

Rundingan di Bamako diadakan di bawah ketua junta Assimi Goita tetapi dia tidak hadir kelmarin, kata sumber tentera.

 Kolonel Malick Diaw (kanan) bersalaman dengan Issa Kaou Djim, tokoh Pegerakan 5 Jun, pada upacara dialog di  Mali, Bamako kelmarin. — Gambar  AFP
MESRA: Kolonel Malick Diaw (kanan) bersalaman dengan Issa Kaou Djim, tokoh Pegerakan 5 Jun, pada upacara dialog di Mali, Bamako kelmarin. — Gambar AFP

“Sejak 18 Ogos lalu, kami melakar sejarah baharu bagi negara kami,” kata orang nombor dua junta Malick Diaw di sesi pembukaan.

Sidang kemuncak itu dirancang pada mulanya untuk hujung minggu lepas tetapi ditunda pada minit akhir ekoran pergaduhan di antara tentera dengan Pergerakan 5 Jun.

Pergerakan 5 Jun telah menerajui tunjuk perasaan yang membawa kepada kejatuhan presiden Keita.

Perikatan pembangkang yang dianggotai para pemimpin agama dan sivil itu telah menuntut agar pemerintah tentera memberikan peranan kepadanya dalam peralihan kepada pemerintahan awam. Tetapi ia tidak dijemput untuk menyertai rundingan peralihan pada Sabtu lalu.

Ia dimasukkan di dalam rundingan yang dijadualkan semula, bersama parti politik, bekas pemberontak, kesatuan, organisasi masyarakat madani dan wakil media.

Bagaimanapun satu perikatan majoriti Tuareg yang dianggotai kumpulan pemberontak bersenjata dan dikenali sebagai Penyelarasan Pergerakan Azawad (CMA) tidak hadir kelmarin.

Jawatankuasa Kebangsaan bagi Penyelamatan Rakyat (CNSP), nama junta yang dikenali, berkata rundingan selari sedang diadakan di ibu kota wilayah, diketuai gabenor wilayah.

Tetapi di Kidai, kota timur laut yang dikuasai CMA, “rundingan ditunda kerana tidak ada kompromi di antara CNSP dan CMA”, kata soerang pegawai pentadbiran kepada AFP.

CMA, yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Keita pada 2015, berkata ia menjangkakan bahawa perjanjian sebelum ini akan terus berkuatkuasa.

Perjanjian itu bertujuan untuk mendorong kumpulan pemberontak meletak senjata dan menyerap mereka ke dalam angkatan tentera negara, tetapi pelaksanaannya telah berlarutan selama bertahun-tahun walaupun menerima tekanan antarabangsa.

Sementara itu dua askar Perancis bersama tentera Barkhane yang menentang puak pelampau jihad di Mali terkorban manakala askar ketiga cedera di wilayah Tessalit ke utara Kidai, apabila kenderaan perisai mereka terkena alat letupan buatan sendiri, kata pejabat presiden Perancis.

Kematian itu menjadikan jumlah askar Perancis yang terkorban ketika berkhidmat di wilayah Sahel sejak 2013 seramai 45 orang.

Salah satu isu penting dalam rundingan adalah tempoh peralihan kepada pemerintahan awam.

Pada mulanya junta mencadangkan tempoh peralihan selama tiga tahun, sebelum mereka mengurangkannya kepada dua tahun.

Pergerakan 5 Jun pula menyatakan ia mahukan tempoh peralihan selama 18 hingga 24 bulan.

Blok serantau Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) yang dianggotai 15 buah negara, yang telah mengenakan sekatan dan menutup sempadan kepada Mali untuk menekan junta, telah menuntut agar pilihan raya diadakan dalam tempoh 12 bulan. — AFP

Advertisement