Anda di sini

Pendengaran hujahan rayuan pembubaran DUN Sabah bersambung esok 

Advertisement

PUTRAJAYA: Pendengaran hujahan mengenai rayuan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Mahkamah Rayuan di sini bersambung esok pada 12 tengah hari.

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli DUN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim menangguhkan pendengaran itu ke esok kerana pihak-pihak dalam kes itu mempunyai hujahan yang panjang untuk dibentangkan.

Hakim Abdul Karim yang mengetuai panel itu bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian menetapkan 12 tengah hari esok kerana panel itu mempunyai kes lain pada sebelah pagi.

Pada prosiding awal, mahkamah mendengar hujahan oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili 33 ADUN,  Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh mewakili Tun Juhar, peguam Datuk Cyrus Das mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Kerajaan Negeri Sabah.

Esok, Cyrus dijadual meneruskan penghujahannya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan pula mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR menetapkan 12 September tarikh penamaan calon dan 26 September tarikh pengundian.

Advertisement