Anda di sini

Program digital iLearn Ace berjaya beri impak positif kepada pelajar

Advertisement
 Wahab menyampaikan program digital iLearn Ace kepada salah seorang murid SK Abang Abdul Rahman Saratok sambil disaksikan oleh tetamu lain.
PENDIDIKAN DIGITAL: Wahab menyampaikan program digital iLearn Ace kepada salah seorang murid SK Abang Abdul Rahman Saratok sambil disaksikan oleh tetamu lain.

SARATOK: Program digital iLearn Ace yang dilaksanakan sejak 2018 berjaya memberi impak positif kepada pelajar sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, program itu sebahagian daripada usaha membangunkan sektor pendidikan digital.

“Ia telah terbukti apabila salah sebuah sekolah di DUN Kalaka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman Saratok baru-baru ini berjaya mendapat lulus penuh dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di mana dua pelajarnya mendapat keputusan 6A.

“Program iLearn Ace yang dilancarkan pada 2018 merupakan program perintis di Malaysia menggunakan pendidikan digital untuk kecemerlangan sekolah bagi kawasan DUN Kalaka.

“Pelaksanaan projek ini selaras dengan matlamat dasar Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Wahab berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke SK Abang Abdul Rahman Saratok, baru-baru ini.

Abdul Wahab berkata, iLearn Ace merupakan platform pembelajaran digital bersapadu dilengkapi dengan aplikasi mudah alih dengan pembelajaran bukan sahaja dijalankan secara dalam talian tetapi juga tanpa sambungan Internet.

“Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program ini, kita telah memberi peruntukan sebanyak RM16,000 bagi tujuan perjalanan program iLearn Ace di sekolah ini.

“Program iLearn Ace adalah platform pembelajaran mudah alih yang tercanggih di Malaysia dan di Asia menggunakan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia yang terkini.  

“Ia boleh digunakan secara talian dan luar talian dengan menggunakan komputer riba, tablet atau telefon pintar.

“Program ini amat bertepatan dan selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu Kemenjadian Murid dan Sekolah Berkualiti,” katanya.

Hadir sama Guru Besar SK Abang Abdul Rahman Mahruf Engga dan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka Kaunselor Mohamad Duri.

Advertisement