Anda di sini

Pembantu kedai didenda RM10,000, penjara tujuh hari cuba sogok polis bantuan 

Advertisement
 Iwan diiring keluar selepas prosiding mahkamah.
TERTUDUH : Iwan diiring keluar selepas prosiding mahkamah.

TAWAU: Pembantu kedai warga Indonesia didenda 200 kali ganda iaitu RM10,000 dan penjara tujuh hari bermula kelmarin, selepas mengaku bersalah memberi sogokan sebanyak RM50 kepada Polis Bantuan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini. 

Hakim Abu Bakar Manat turut mengarahkan tertuduh yang dikenali sebagai Iwan, 41, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menyogok sebanyak RM50 kepada Firhan Yusuf, seorang anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia bagi melepaskannya daripada ditahan di Sekatan Jalan Raya 4, Jalan Kuhara, dalam daerah Tawau pada 22 April 2020.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, tertuduh ditahan selepas didapati tidak memiliki lesen memandu kelas B2 ketika menunggang motosikal nombor pendaftaran ST3700V.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement