Anda di sini

Festival Filem Venice dibuka dengan langkah keselamatan yang ketat

Advertisement
 Barbera (kiri) dan Blanchett, kedua-duanya memakai pelitup muka, berlaga siku ketika tiba untuk acara pembukaan Festival Filem Venice di Lido, Venice pada Rabu lepas. — Gambar AFP
SOP KETAT: Barbera (kiri) dan Blanchett, kedua-duanya memakai pelitup muka, berlaga siku ketika tiba untuk acara pembukaan Festival Filem Venice di Lido, Venice pada Rabu lepas. — Gambar AFP

FESTIVAL Filem Venice bermula pada Rabu dengan langkah keselamatan ketat yang dilaksanakan untuk pertandingan antarabangsa pertama dalam industri perfileman sejak koronavirus melanda, dengan 18 buah filem yang merebut hadiah utama untuk membantu penggemar filem melupakan pandemik buat seketika.

Ketika filem pembukaan ditayangkan pada Rabu, ‘Lacci’ daripada pengarah Itali, Daniele Luchetti, pawagam dipenuhi hanya separuh sahaja oleh wartawan, yang diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

Sehari sebelum pertandingan berprofil tinggi tahunan di Lido bermula, puluhan tanda keselamatan merah telah dipunggah dan dipasang di sekitar tempat acara yang menunjukkan keanehan acara pada tahun ini.

“Peraturan kelakuan anti COVID-19,” tanda-tanda menegak yang terang itu menyebut.

“Pakai pelitup muka. Amalkan jarak selamat. Cuci tangan anda.”

Bunyi gerudi memecah udara panas di tepi pantai ketika pekerja menyiapkan persiapan minit akhir manakala wartawan – semua memakai pelitup muka – berlegar-legar di atas permaidani merah yang baharu disediakan, dengan lencana festival digantung dari leher mereka.

“Pada tahun ini di Venice, mereka telah mengelirukan festival dengan karnival. Kita berada di majlis tari-menari bertopeng,” kata seorang wartawan Itali kepada rakan-rakannya.

Satu pengecualian adalah Pengarah Festival, Alberto Barbera, yang berkulit sawo matang dan tidak memakai pelitup muka, ketika dia memberi wawancara di atas permaidani merah tentang kepentingan festival pada tahun ini.

“Saya teruja dan saya sedikit gelisah,” akui Barbera, yang muncul kemas dengan memakai sut biru yang telah diseterika walaupun cuaca panas.

Pada Mei lalu, Barbera membuat keputusan taruhan tinggi untuk meneruskan ‘La Mostra’ – sekarang memasuki tahun yang ke-77 – walaupun festival filem di seluruh dunia memilih untuk memutuskan pembatalan, termasuk saingan Venice di Perancis, Festival Filem Cannes.

“Kami merasai tanggungjawab untuk menjadi yang pertama. Kami tahu Venice akan menjadi umpama ujian bagi semua orang,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu di seluruh dunia, kebanyakan penerbitan filem masih ditangguhkan dan pawagam gelap disebabkan oleh koronavirus.

Kira-kira 6,000 orang dijangkakan hadir pada tahun ini – kira-kira separuh daripada jumlah biasa di festival itu – selepas sekatan sempadan di seluruh dunia membataskan keupayaan ramai untuk melakukan perjalanan.

Kebanyakan selebriti senarai A di Hollywood tidak akan hadir, tetapi aktres dari Australia, Cate Blanchett, memberi kuasa bintang pada tahun ini sebagai presiden juri.

“Ia adalah festival tanpa bintang kerana Hollywood masih dalam sekatan pergerakan,” kata Barbera kepada AFP.

“Adakah keadaan akan kurang glamor? Ya. Adakah bintang tidak ramai di atas permaidani merah? Sudah tentu.

“Tetapi filem yang bagus begitu banyak sekali, 65 dari 50 buah negara yang berlainan, satu tanda kekayaan dan kepelbagaian dunia perfileman kontemporari.”

Sebanyak 18 buah filem dalam pertandingan utama akan merebut hadiah utama di festival itu, iaitu anugerah Golden Lion yang berprestij.

Dengan syarat ia dilakukan secara selamat, sekarang adalah masanya bagi pencinta filem untuk kembali ke tempat duduk dalam pawagam, kata Barbera.

“Kita sudah bosan melihat filem dalam penstriman,” katanya.

Penganjur berharap mereka dapat mengendalikan festival dengan selamat – yang dijadual berlangsung sehingga 12 September – walaupun kes koronavirus semakin meningkat di Itali dan negara-negara jiran di Eropah.

Dalam salah satu perubahan paling radikal, peminat tidak akan lagi dibenarkan berada dekat permaidani merah, di mana pada tahun-tahun lalu, mereka bersesak di sebalik perintang dengan harapan untuk mendapatkan gambar atau autograf dari selebriti kegemaran mereka. — AFP

Advertisement