Anda di sini

Dipenjara enam tahun kerana pisau utiliti

Advertisement
Tertuduh dipenjara enam tahun kerana memiliki pisau pemotong.
Tertuduh dipenjara enam tahun kerana memiliki pisau utiliti.

KUCHING: Seorang lelaki dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan kesalahan memiliki pisau utiliti di tempat awam tanpa kebenaran.

Hakim Steve Ritikos juga mengenakan tiga sebatan terhadap tertuduh, Muhammad Hafiz Bujang, 27, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

“Mahkamah juga mengarahkan hukuman penjara bagi kes ini dikuatkuasakan mulai 27 Ogos 2020, serentak dengan hukuman penjara enam bulan yang dijalaninya kini atas kesalahan mencuri,” ujar Steve semasa menjatuhkan hukum. 

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 17 Julai lalu, jam 3.50 petang di Lorong 10, Taman Senggi Siniawan, Bau. 

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu bagi kes ini memandu keretanya di Lorong 6 kawasan perumahan itu, pengadu memberhentikan seorang lelaki (tertuduh) yang disyaki telah memecah masuk ke salah sebuah rumah di sana, iaitu rumah jirannya. 

Pada ketika itu juga, jiran pengadu cuba untuk menahan tertuduh namun tertuduh bertindak mengeluarkan pisau utiliti dan mengacukannya ke arah jiran pengadu. 

Hasil siasatan juga mendapati tertuduh mengeluarkan bateri kereta dari sebuah rumah yang terletak di Lorong 10.

Namun, tertuduh terus mencampakkan bateri tersebut di kawasan berdekatan dan melarikan diri selepas menyedari perbuatannya itu disaksikan oleh jiran pengadu.

Justeru, pemilik bateri tersebut membuat laporan polis dan tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Tertuduh yang mengaku bersalah mencuri, seterusnya dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 27 Ogos lalu oleh Mahkamah Majistret di sini. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Ilham Kamaruddin memohon agar tertuduh dikenakan hukuman tegas berikutan kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

Jelasnya, hukuman sedemikian bertujuan memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga orang awam secara umumnya.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement