Anda di sini

Pesara kerajaan ditahan menipu kutip derma

Advertisement
 Suspek berjaya diberkas oleh pihak Polis di Taman Apas Permai, di sini.
SUSPEK : Suspek berjaya diberkas oleh pihak Polis di Taman Apas Permai, di sini.

TAWAU : Seorang pesara kerajaan ditahan selepas didapati menipu kononnya membuat kutipan derma untuk sambutan Hari Warga Emas di Taman Apas Permai, di sini.

Dalam kejadian jam 11.38 malam itu, polis turut merampas sehelai kemeja koporat tertera tulisan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang didakwa digunakan suspek,51, ketika mengutip derma berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa telah menyerahkan wang kepada suspek bagi tujuan derma berkenaan.

"Suspek disyaki menipu dengan menjalankan program kutipan derma sempena sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Sabah anjuran Pejabat Kesihatan Tawau (PKT) yang akan diadakan di Kolej Jururawat Tawau.

"Suspek juga dikatakan lengkap berpakaian korporat KKM berwarna merun dipercayai bagi menyakinkan mangsanya untuk menderma,"katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa yang juga pemilik premis makanan curiga mengenai perkara itu, kemudian bertindak menghubungi PKT sekali gus membongkar perbuatan suspek.

Menurutnya, selain baju korporat, polis turut merampas satu buku mengandungi catatan senarai penyumbang tahun 2020 bersama-sama dengan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Suspek juga direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan,"katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai pernah melakukan kegiatan sama tahun lalu sehingga menyebabkan Pejabat Kesihatan Tawau (PKT) membuat laporan polis.

Suspek dikatakan bergiat aktif semula apabila dipercayai datang ke sebuah gerai makanan di Balung untuk mengutip derma, Isnin lalu.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kebenaran membuat kutipan derma kepada pihak luar atau orang awam.

"Antara mangsa yang ditemui mengaku menderma antara puluhan hingga ratusan ringgit dan individu itu juga pernah dikesan menjalankan penipuan yang sama, tahun lalu.

"Saya berharap orang ramai berhati-hati atas sebarang aktiviti penipuan sebegini," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement