Anda di sini

Penyeksa utama di penjara era Khmer Rouge meninggal dunia

Advertisement
 Saudara mara mengangkat mayat Kaing Guek Eav (sisipan) dari ambulans untuk upacara pengebumian di sebuah pagoda di Phnom Penh semalam. — Gambar AFP
TIADA LAGI: Saudara mara mengangkat mayat Kaing Guek Eav (sisipan) dari ambulans untuk upacara pengebumian di sebuah pagoda di Phnom Penh semalam. — Gambar AFP

PHNOM PENH: Bekas ketua penyoal siasat dan penyeksa utama rejim Khmer Rouge di Kemboja meninggal dunia pada awal semalam di hospital di Phnom Penh. Dia berusia 77 tahun.

Kaing Guek Eav, lebih dikenali dengan nama gelaran Duch, berkhidmat sebagai ketua di penjara terkenal Tuol Sleng dan kemudian disabitkan atas jenayah terhadap kemanusiaan oleh sebuah tribunal jenayah perang yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk peranannya dalam rejim “Killing Fields”.

Seorang jurucakap tribunal, Neth Pheaktra, berkata Duch yang dimasukkan ke hospital sejak Isnin lepas meninggal dunia sejurus selepas tengah malam.

Dia keluar dan masuk hospital sejak beberapa tahun lepas akibat mengalami “masalah paru-paru yang serius”, menurut sumber.

Dilahirkan pada 1942, bekas guru matematik itu menjadi penyeksa utama Khmer Rouge

ketika rejim ultra-Maoist berkuasa dari tahun 1975-1979.

Duch yang mengawasi penyeksaan dan pengakuan oleh ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak di sebuah bekas sekolah Tuol Sleng di Phnom Penh, menghantar kira-kira 15,000 orang untuk menemui ajal mereka di “Killing Fields” yang berhampiran.

Dia adalah anggota pertama Khmer Rouge yang berdepan dengan pengadilan di sebuah tribunal jenayah perang di Kemboja, dan dihantar untuk menghabiskan sisa hidupnya di penjara Kandal selepas satu rayuan melanjutkan hukuman asal kepada penjara seumur hidup pada 2012.

Keterangannya di tribunal menjadi batu uji penting kepada berjuta-juta rakyat Kemboja yang menderita di  bawah pemerintahan rejim, menyimpan rekod penjara yang sangat teliti dan men-dedahkan aspek kerja rahsia Khmer Rouge.

Kebanyakan kakitangan penjaranya adalah remaja lelaki yang tidak berpendidikan dan Duch berkata mereka boleh dengan mudah diajar kerana mereka “seperti sehelai kertas kosong”.

Ketika dia memohon kemaafan untuk jenayah yang dilakukannya di penjara, dia kemudian mengejutkan mangsa yang masih hidup dengan meminta dibebaskan atas dasar bahawa dia bukannya seorang pegawai kanan dalam hierarki Khmer Rouge.

“Saya hanya mematuhi arahan dengan penuh hormat dan tegas,”  kata Duch dalam salah satu kenyataan umum terakhirnya kepada mahkamah.

Tugas tribunal jenayah perang itu telah terjejas oleh skopnya yang terhad, dan usia para defendan serta hanya merekodkan tiga pensabitan – termasuk Duch. — AFP

Advertisement