Anda di sini

MKN hantar pulang 131 PTI Indonesia ke negara asal

Advertisement
 Semua PTI yang dihantar pulang diberi taklimat sebelum dibawa ke Terminal Feri Penumpang (TFP) Tawau.
TAKLIMAT : Semua PTI yang dihantar pulang diberi taklimat sebelum dibawa ke Terminal Feri Penumpang (TFP) Tawau.

TAWAU : Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menghantar pulang 131 pendatang tanpa izin (PTI) dari Tawau ke negara asal mereka di Indonesia melalui perjalanan laut.

Kesemua PTI terbabit dihantar pulang menerusi feri dari Terminal Feri Penumpang (TFP) Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, penghantaran pulang ini merupakan program khas yang dilaksanakan oleh MKN Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan agensi kerajaan yang lain.

"Sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, semua tahanan dipastikan berada dalam keadaan fit to travel sebelum diusir manakala tahanan yang didapati sakit akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu.

"Kesemua mereka itu juga sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan didapati negatif sebelum mendapat kelulusan untuk dihantar pulang," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

 Semua PTI yang dihantar pulang menjalani saringan COVID-19 di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau.
SARINGAN : Semua PTI yang dihantar pulang menjalani saringan COVID-19 di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau.

Menurutnya, penghantaran pulang itu merupakan siri ke-25 melalui jalan laut pada tahun 2020 melibatkan PTI warga Indonesia dan Filipina.

"Sepanjang tahun ini seramai 6,155 orang termasuk 221 orang warganegara Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong, Korea Selatan dan lain-lain yang telah dihantar melalui udara yang dilakukan oleh JIM Sabah," katanya.

Beliau berkata, MKN Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi penghantaran pulang PTI kali ini.

"Begitu juga, penghargaan kepada pihak Konsulat Republik Indonesia yang memberikan kerjasama dalam memastikan rakyat mereka dapat kembali ke negara asal.

"Tindakan mereka mencerminkan kebertanggungjawaban dan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan warganegara mereka walaupun berstatus PTI," katanya.

Sharifah berkata, MKN Sabah, JIM Sabah dan semua agensi terlibat terus komited untuk melaksanakan pengusiran PTI serta semua aktiviti berkaitan penguatkuasaan terutamanya dalam masa kini di mana wabak COVID-19 masih belum berakhir.

"Kehadiran PTI terutamanya dari negara jiran yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi adalah amat membimbangkan dan kita tidak mahu usaha gigih kerajaan serta masyarakat Malaysia memerangi wabak ini terjejas dengan kes-kes yang dibawa oleh mereka,"katanya.



 


 

Advertisement