Anda di sini

Tiada DNA asing ditemukan pada mayat Nora Anne: Ahli kimia

Advertisement
 Nor Aidora menjadi saksi keenam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Nora Anne di Mahkamah Koroner Seremban semalam. — Gambar Bernama
BERI KETERANGAN: Nor Aidora menjadi saksi keenam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Nora Anne di Mahkamah Koroner Seremban semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Mahkamah Koroner Seremban semalam diberitahu tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing ditemukan pada mayat remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin termasuk di bahagian alat sulitnya.

Pengarah DNA Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Nor Aidora Saedon berkata keputusan itu adalah berdasarkan eksibit yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Saksi keenam dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne itu berkata eksibit pertama adalah ujian swab atau calitan yang diambil daripada ahli keluarga Nora Anne manakala yang kedua daripada mayatnya dan yang terakhir adalah sampel yang diambil di tempat kejadian.

“Tugas saya adalah menganalisis eksibit dari tempat kejadian jenayah dan setahu saya laporan pertama bernombor 19FRB18998 adalah daripada eksibit pertama yang dihantar, semasa Nora Anne masih belum dijumpai.

“Oleh itu anda akan lihat daripada beberapa calitan dan eksibit  yang saya berjaya mendapatkan profil telah dilabelkan sebagai ‘Individu Satu’.

“Laporan ketiga, 19FRB99139, adalah semasa Nora Anne sudah dijumpai dan kami dapat pastikan individu dalam laporan itu ialah Nora Anne, dan sudah tentu berdasarkan eksibit serta daripada analisis saya, kami tidak menemukan sebarang DNA asing pada mayat Nora Anne,” katanya  semasa memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Semasa ditanya Maimoonah apa yang dimaksudkannya dengan tiada kehadiran DNA asing, Nor Aidora  menjelaskan: “DNA asing pada mayatnya malah daripada calitan, kuku atau rambut, yang diambil bermaksud bukan milik Nora Anne.

“Sebagai manusia, kita biasanya meninggalkan DNA kita di sekeliling  kita, oleh itu berdasarkan eksibit yang diambil, boleh diagak siapa yang meninggalkan bukti,” katanya dan menjelaskan DNA bukan sesuatu yang boleh diubah.

Prosiding inkues akan berlangsung sehingga 4 Sept dengan sejumlah 64 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan itu.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan sembilan hari kemudian pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja istimewa itu tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Inkues bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement