Anda di sini

Sunan Muria, pilih cara yang lembut untuk berdakwah

Advertisement
"Sunan Muria adalah salah seorang wali songo, yang terkenal sebagai penyebar agama Islam di Tanah Jawa pada abad ke-17"
"Sunan Muria adalah salah seorang wali songo, yang terkenal sebagai penyebar agama Islam di Tanah Jawa pada abad ke-17"

SUNAN Muria memilih tinggal di puncak gunung. Tempatnya tinggi. Beliau perlu turun naik gunung kira-kira 1,600 meter di Colo, Gunung Muria setiap kali beliau ingin untuk menyebarkan dakwah Islam.

Betapa kuat dan gagahnya Sunan Muria. Tanpa kekuatan fizikal dan komitmen beliau sebagai seorang pengembang agama, rasanya sukar juga bagi mendaki gunung setiap kali ingin pulang ke rumahnya.

Sunan Muria adalah salah seorang wali songo, yang terkenal sebagai penyebar agama Islam di Tanah Jawa pada abad ke-17. Selain Sunan Muria, antara ulama yang  amat berjasa mengembangkan syiar Islam di Jawa ialah Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Drajdad, Sunan Kalijaga, Sunus Kudus dan Sunan Gunung Jati.

 Salah satu laluan sebelum tiba di makam Sunan Muria.
TARIKAN PENGUNJUNG: Salah satu laluan sebelum tiba di makam Sunan Muria.

Saya bersyukur kerana sempat berziarah ke makam makam Wali Songo. Sebelum ini, saya berpeluang berkunjung ke Makam Sunan Ampel di Surabaya, Makam Sunan Bonang di Desa Mbonang, Lasem Rembang, dan sebelum ke Sunan Gunung Muria, saya sempat berziarah di Makam Sunan Kudus.

Tidak semua orang berpeluang untuk berkunjung ke tempat bersejarah seperti makam wali songo. Tetapi berkat sokongan dan bantuan Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, memberikan kesempatan kepada saya untuk berziarah ke makam-makam ulama yang memainkan peranan penting dalam usaha pengembangan syiar Islam di Nusantara.

 Penjual menanti penziarah untuk singgah.
DARI BAWAH KE ATAS: Penjual menanti penziarah untuk singgah.

Kira-kira 19 kilometer dari Kota Kudus, kami bergerak ke pusat wisata Colo. Pemandangan di kiri kanan jalan amat menarik. Jalan lebar dan lancar. Kelihatan rumah-rumah penduduk, kebun, sawah dan golongan petani Jawa yang rajin mengerjakan tanah mereka.

Sebaik tiba di pintu gerbang dan selepas membayar tiket masuk, kami meneruskan perjalanan lagi.Makam Sunan Muria ada nama sebenarnya Raden Umar Said terletak kira-kira dua kilometer dari pintu masuk. Sunan Muria adalah anak kepada Sunan Kalijaga dengan Dewi Saroh Maulana Ishak.

 Makam Raden Umar Said Sunan Muria.
DI DEPAN MAKAM: Makam Raden Umar Said Sunan Muria.

Selepas kenderaan yang kami naik berhenti, saya menaiki ojek,  kenderaan motosikal yang digunakan untuk mengangkut pengunjung. Setiap penumpang dikenakan Rp10,000 untuk sampai ke puncak Colo, tempat Raden Umar Said atau Sunan Muria dimakamkan.

Sebenarnya saya boleh mendaki tangga atau undhagan dalam bahasa Jawa. Tetapi tempatnya agak jauh dan tinggi. Saya pula memiliki masa yang terhad kerana terpaksa bergegas ke Semarang selepas itu.

Di sepanjang jalan menuju makam itu, kita dapat melihat banyak gerai kios yang menjual pelbagai jenis cenderamata, tasbih, kalung,baju, kuih muih, makanan dan minuman. Kita juga dapat melihat keindahan alam sekitar dan dapat melihat keindahan kota Kudus dari lereng gunung Muria.

 Beg tangan dan pelbagai cenderamata yang dijual kepada pengunjung.
MENANTI PELANGGAN: Beg tangan dan pelbagai cenderamata yang dijual kepada pengunjung.

Berziarah ke kuburan, mungkin aneh bagi sebilangan orang. Tetapi saya ingin menyerap pengalaman tokoh-tokoh ulama terdahulu dalam menyebarkan agama Islam kepada penduduk pulau Jawa.

Selain itu, berziarah ke Kuburan atau ke makam-makam, banyak hikmahnya. Ia mengingatkan kita kepada waktu kematian kita sendiri.Kita dapat juga melihat dari dekat, jejak-jejak sejarah yang ditinggalkan oleh Wali Songo.

Sunan Muria atau Raden Umar Said memang lain dari yang lain dalam menjalankan usaha dakwahnya. Beliau menggunakan cara yang lembut, ibaratkan mengambil ikan tetapi tidak membuat airnya keruh. Beliau mengajarkan penduduk di sekitar Gunung Muria untuk bercucuk tanam, berdagang dan sebagainya. Saya fikir sunan Muria adalah seorang pencinta alam.

Tapi kenapa beliau membina masjidnya jauh di atas bukit? Di daerah yang sangat terpencil? Di puncak Gunung Muria yang bernama Colo itu, Sunan Muria membina tempat tinggalnya. Sebagai seorang Wali Allah, beliau diberikan banyak kelebihan dalam menyampaikan ajaran Islam.

 Makam Sunan Muria terletak 19 kilometer dari Kota Kudus.
PALING DEKAT: Makam Sunan Muria terletak 19 kilometer dari Kota Kudus.

Namun beliau seorang yang rendah hati, terus bergaul dengan masyarakat, sambil mengajarkan cara bercucuk tanam, sambil berdagang, sambil mengajarkan kesenian gamelan dan wayang dan menjadikan sebagai alat dakwah menyebarkan ajaran Islam. Ada orang yang memberitahu, salah satu hasil dakwah beliau melalui media seni adalah tembang Sinom dan Kinanti. Namun saya belum sempat mendengarnya.

Dalam sejarah, pernah dicatatkan bahawa Sunan Muria menjadi pendamai dalam konflik dalaman Kesultanan Demak (1518-1530). Keperibadian Sunan Muria yang cendikia memudahkan beliau memecahkan pelbagai masalah dan dapat diterima oleh semua pihak.

 Pelbagai jenis jualan yang dijual Wisata Colo.
PELBAGAI JUALAN: Pelbagai jenis jualan yang dijual Wisata Colo.

Beliau berdakwah di Jepara, Tayu, Juwana hingga sekidar Kudus dan Pati.Sasaran dakwahnya adalah petani, pedagang, nelayan dan rakyat jelata.Berkat jasa wali songo, agama Islam tersebar di seluruh nusantara khusunya pulau Jawa.

Makamnya di Gunung Muria itu tidak pernah sepi dari pengunjung. Tempatnya di salah sebuah puncak setinggi kira-kira 1600 meter.

Sebaik tiba di kawasan makam itu, saya terus menunaikan solat sunat di Masjid Sunan Muria. Selesai solat, saya terus memakai sepatu untuk berkunjung ke sekitar Makam. Gunung Muria itu masih terletak di bawah pemerintah Daerah Kudus. Di Kota Kudus, sendiri ada Menara Kudus yang dibina oleh Sunan Kudus pada tahun 1549 M.

 Sepanjang jalan menaiki tangga ke puncak Gunung Muria dipenuhi gerai jualan.
SEPANJANG JALAN: Sepanjang jalan menaiki tangga ke puncak Gunung Muria dipenuhi gerai jualan.

Selepas melepaskan alas kaki, saya memasuki jalan khusus untuk pengunjung ke Makan Sunan Muria. Meskipun tidak dibenarkan mengambil gambar, tapi saya mendapat izin asalkan tidak mengganggu pengunjung yang lain.

Saya sempat menghadiahkan Al-Fatihah sambil berdoa kepada Allah supaya saya juga diberi kekuatan untuk menjadi peribadi mulia seperti beliau. Selesai berdoa, saya sempat minum air yang disediakan dalam gelas plastik. Air itu adalah dari Gentong Peninggalan Sunan Muria. Mengikut cerita, gentong adalah sumber air yang kononnya berkhasiat mengubati berbagai penyakit.

Selepas menuruni bukit dan merakamkan beberapa gambar kenangan, saya mengajak pemandu saya Pak Historia, melanjutkan perjalanan ke Masjid Agung Demak.

 Penulis bersama tukang ojek.
KENANGAN: Penulis bersama tukang ojek.

Saya teringat Presiden Gus Dur. Ketika ditanya mengapa beliau suka berziarah ke makam-makam, beliau menjawab dengan penuh jenaka tetapi bermakna.

"Saya tidak percaya sama yang masih hidup, kalau yang sudah mati, mereka tidak mempunyai kepentingan apa apa lagi," katanya.

Bagi saya, ziarah ke Makam Sunan Muria, memberikan banyak pengajaran dan beliau boleh dijadikan teladan dalam menyampaikan syiar Islam dengan penuh kelembutan.

  • oleh
  • Advertisement