Anda di sini

Pewaris Samsung Lee Jae Yong bakal didakwa kerana menipu

Advertisement
LEE JAE YONG
LEE JAE YONG

SEOUL: Pewaris Samsung Group Lee Jae Yong bakal didakwa kerana terbabit dengan isu penggabungan syarikat yang mencetuskan kontroversi dan penipuan akaun, lapor berita Yonhap memetik sumber undang-undang semalam.

Difahamkan pihak pendakwaan akan meneruskan siasatan dan mendakwa Lee tanpa penahanan, susulan kes manipulasi saham dan pelanggaran undang-undang pasaran modal berhubung penggabungan dua syarikat  Cheil Industries Inc dan Samsung C&T pada 2015, serta penipuan akaun unit farmasi Samsung Biologics.

Pendakwa mengesyaki Lee, naib ketua Samsung Electronics, terlibat dalam skim merancang penggabu-ngan dan penipuan dengan cara mengambil alih kawalan syarikat konglomerat terbesar negara itu daripada bapanya Lee Kun Hee, yang sedang sakit akibat serangan jantung pada 2014.

Lee juga disyaki terlibat dengan sebahagian rancangan meningkatkan nilai Samsung Bioepis, usaha sama antara Samsung Biologics, anak syarikat Cheil Industries dan Biogen Inc. yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Lee bagaimanapun, menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan itu sejak siasatan dimulakan pada November 2018.

Namun, pihak pendakwa yakin mempunyai bukti yang cukup untuk meneruskan siasatan dan mendakwa Lee. — Bernama

Advertisement