Anda di sini

Padah memandu guna telefon bimbit, lelaki didenda RM550

Advertisement
 

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM550 terhadap seorang lelaki atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu bulan lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu keatas Mohd Yusof Masal, 38, yang mengaku bersalah di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Tertuduh didakwa mengikut Kaedah 17A (1), Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1969, [L.N. 166/1959] yang boleh dihukum mengikut kaedah 17A (2) peraturan yang sama dan dibaca bersama  Seksyen 128 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87).

Kesalahan itu juga dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah selepas dikuat kuasakan bermula 6 Julai lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu semasa memandu sebuah motokar di Jalan Dominic, pada jam 9.58 pagi 20 Ogos lalu.

Ketika kejadian, tertuduh yang berasal dari Kampung Bugaya Semporna, didapati menggunakan telefon bimbit tanpa alat pemegang bebas semasa melalui bulatan di lokasi terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia mempunyai masalah pendengaran yang menyebabkannya melakukan kesalahan itu selain mempunyai hutang yang serius.

Amir Shah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda berkenaan, gagal bayar penjara satu bulan ke atas tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement