Anda di sini

D’Alphalegacy pertaruh pelakon handalan jayakan ‘Frontliner’

Advertisement
 

FILEM televisyen (FTV) ‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini.

Buah tangan terbaharu terbitan syarikat produksi D’Alphalegacy (M) Sdn. Bhd. ini turut mendapat sentuhan kreatif A’minahtul Marrdiah selaku penulis skrip dan diarahkan oleh sutradara berkaliber Razif  ‘Ajiboy’ Rashid.

‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini.

Selain itu, ‘Frontliner’ juga turut menampilkan barisan pelakon handalan yang terdiri daripada Azhan Rani, Emma Maembong, Beto Kusyairy, Farah Ahmad, Wan Maimunah, Achey dan Shamsul Danish selaku teraju utama.

Menarik lagi, nama-nama popular seperti Black, Ashraf Muslim, Zul Handy Black, Meerqeen dan ramai lagi turut membuang penampilan istimewa sebagai ‘cameo’ dalam naskah ini.

Naskah ‘Frontliner’ yang diinspirasikan daripada pelbagai kisah benar seperti pengorbanan seorang ibu yang sakit tetapi harus membenarkan anak berkorban demi negara walaupun jauh di sudut hatinya tidak bersetuju, pengorbanan seorang suami yang bertugas sebagai pegawai polis dan harus berhadapan dengan masyarakat setempat setiap hari serta pada masa yang sama harus mendengar keluhan hati isterinya yang tertekan dengan beban kewangan di tempat kerja kesan akibat Covid-19.

Pengorbanan seorang doktor yang terpaksa berjauhan dengan isteri kesayangan yang sedang hamil demi kesihatan dan keselamatan isterinya turut diceritakan.‘Frontliner’ dijangka bakal bersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand.

Butiran lanjut mengenai tarikh siaran dan cara-cara untuk melanggan naskah ‘Frontliner’ akan diumumkan kelak.

Menurut Pengarah D’ Alphalegacy yang juga penulis skrip ‘Frontliner’ A’minahtul Marrdiah dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Astro, sebagai pemain baharu dalam industri kandungan kreatif tanah air, mereka amat teliti dan komited dalam mengatur strategi percaturan kerana penonton kini semakin bijak menilai karya yang berkualiti dan terbaik untuk tontonan mereka, lebih-lebih lagi dengan lambakan pilihan kandungan di pelbagai platform.

“Kami cukup berbesar hati dan gembira dengan penerbitan naskah ‘Frontliner’ yang menjadi antara taruhan awal D’Alphalegacy kerana karya ini bakal menjadi titik tolak permulaan yang positif buat kami.

“Kami juga sedia maklum bahawa kekuatan sesebuah kandungan itu diukur bukan sahaja berdasarkan kualiti produksi yang bermutu tinggi serta naratif penceritaan kuat tetapi juga harus disokong dengan kehadiran nama-nama handalan yang mampu ‘berhubung’ dengan para penonton menerusi watak-watak yang mereka terjemahkan dalam bentuk lakonan yang berkesan.

“Selaku penerbit dan penulis skrip naskah ‘Frontliner’, saya sudahpun membayangkan siapa pelakon sesuai yang akan membawakan watak tertentu sejak mula tercetusnya idea untuk menghasilkan naskah ini dan bersyukur kerana ia berjalan lancar mengikut perancangan.

“Kombinasi pelakon baharu dan lama yang dipilih adalah berdasarkan kredibiliti, komitmen dan keikhlasan mereka dalam menjayakan setiap watak yang diamanahkan kerana elemen tersebut merupakan tunjang utama yang diperlukan untuk mencipta magis tersendiri bagi mana-mana karya yang dihasilkan. Namun begitu, kami juga tidak menafikan bahawa faktor populariti juga penting kerana ia mampu memberi nilai komersial untuk menarik perhatian penonton. Maka, kesemua elemen ini haruslah bergerak seiring demi kualiti yang cemerlang.

“Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan dan cabaran SOP yang perlu dipatuhi susulan krisis pandemik Covid-19, ‘Frontliner’ berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat mengikut jadual,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah ‘Frontliner’ Razif ‘Ajiboy’ Rashid berkata, “Menerusi FTV Frontliner, apa yang saya cuba paparkan bukanlah hanya tertumpu kepada pengorbanan pejuang barisan hadapan di lapangan tugas tetapi lebih kepada konflik dalaman yang dialami oleh mereka.

“Cabaran dan tanggungjawab yang harus mereka pikul amat berat. Namun mereka harus kuat dan tabah untuk terus berjuang. Sebagai mana masyarakat yang rata-rata tertekan akibat pandemik Covid-19, golongan frontliner juga turut tertekan kerana mereka juga mempunya keluarga dan masalah seperti kita yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Di sebalik pengorbanan mereka sebagai frontliner, wujud pengorbanan dan konflik dalaman lain di sebaliknya.

“Selain itu, pelbagai isu-isu sampingan sewaktu fasa PKP termasuk isu golongan kluster tabligh dan kluster kayangan yang sebenarnya turut berasa tertekan juga diselitkan untuk merancakkan lagi keseluruhan penceritaan. Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskah ini ialah tidak kira apa sahaja rintangan dan dugaan yang melanda, kita tidak boleh menghukum seseorang kerana setiap permasalahan pasti ada sebabnya,” tambahnya.

Advertisement