Anda di sini

Budak 12 tahun didakwa lakukan amang seksual terhadap 3 sepupu

Advertisement
 

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan, masing-masing merupakan sepupunya.

Tertuduh yang didakwa oleh tiga Mahkamah Majistret berasingan bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibacakan terhadapnya.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa melakukan seksual fizikal ke atas tiga mangsa tersebut, dua daripadanya berusia 9 tahun dan seorang lagi berusia 11 tahun di rumahnya di Kenyalang Park, sini, pada 22 Mac 2019. 

Dalam kejadian lebih kurang jam 11 pagi tersebut, dia didakwa menyentuh tubuh badan kesemua mangsa untuk tujuan seksual.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar, Majistret Zubaidah Sharkawi dan Majistret Zaiton Anuar masing-masing menetapkan 8 Oktober depan untuk mendengar laporan akhlak tertuduh.

Sementara itu, tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin mahkamah dengan neneknya sebagai penjamin. 

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin dan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

  • oleh
  • Advertisement