Anda di sini

Sistem ART di bandar raya Kuching beroperasi secara komersial pada 2025

Advertisement
 

KUCHING: Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain (gambar) berkata sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka mula beroperasi secara komersial pada 2025.

Beliau berkata ujian percubaan sistem pengangkutan moden itu bakal dilakukan selewat-lewatnya 2023, dan sebagai permulaan akan menggunakan laluan dikenal pasti di sekitar bandar raya Kuching.

"Semasa tempoh pandu uji sistem ART ini, kita akan melihat pelaksanaan sistem secara menyeluruh. Laluan dicadangkan (bagi operasi komersial) ialah dari bandar raya Kuching ke Samarahan dan bandar raya Kuching ke Batu 12 (Jalan Kuching-Serian).

"Sistem ART beroperasi secara komersial mungkin pada tahun 2025," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Pembangunan Hartahan antara SEDC dan UDA Holdings Berhad di sebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sementara itu, Abang Johari berkata pelaksanaan dan pembiayaan projek ART berkenaan akan dilakukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) (2021-2025).

Menjelas lanjut beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan dilakukan pada RMK-12 kerana kosnya dijangka jauh lebih murah disebabkan penggunakan teknologi terkini.

"Kos (pelaksanaan projek ART) kerana teknologi yang akan digunakan lebih maju. Bagi Kuching kosnya kurang dari RM6 bilion berbanding kos asal iaitu antara RM8 bilion hingga RM10 bilion.

"Jadi sekarang dengan teknologi baru ia (kos membangunkan sistem ART) lebih murah," katanya sambil menambah projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau memberitahu ketika ini, Sarawak Metro syarikat milik kerajaan negeri yang ditubuhkan bagi membangunkan sistem ART berkenaan sedang meneliti laluan-laluan dicadangkan termasuk laluan lalu lintas dan stesen-stesen bagi sistem berkenaan.

"Ia (ART) tidak menggunakan landasan, ia berjalan di atas jalan raya. (Oleh itu) kita hanya perlu melebarkan jalan raya sedia ada bagi menyediakan laluan untuk ART," jelasnya.

Menurutnya, terminal utama ART akan dibina di kawasan Padang Pasir berhampiran Masjid Bandaraya Kuching.

Sarawak beralih kepada sistem ART selepas mendapati kos pembinaannya jauh lebih murah berbanding pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) yang mulanya mahu dibangunkan di negeri ini.

Abang Johari ketika mengadakan lawatan kerja ke bandar Nanchang, China untuk melihat sendiri sistem ART di sana pada Julai tahun lalu berkata ART dapat mengurangkan kos pelaksanaan apabila alirannya dapat digunakan di atas jalan raya biasa atau bertingkat.

Laluan yang dicadangkan bagi sistem berkenaan ialah Kuching-Samarahan dan Kuching-Serian.
 

  • oleh
  • Advertisement