Anda di sini

Ribuan ditahan kerana ‘jenayah berkaitan virus’

Advertisement
 Seorang sukarelawan menyembur bahan nyahkuman di sebuah bilik darjah sebuah sekolah sebelum bermulanya semester baharu di Handan di wilayah Hebei, China. — Gambar AFP
NYAHKUMAN: Seorang sukarelawan menyembur bahan nyahkuman di sebuah bilik darjah sebuah sekolah sebelum bermulanya semester baharu di Handan di wilayah Hebei, China. — Gambar AFP

BEIJING: Hampir 5,800 orang disyaki membunuh pekerja kesihatan, menjual peralatan perubatan yang rosak dan berbohong mengenai sejarah perjalanan mereka telah diberkas di China bagi jenayah berkaitan dengan epidemik sejak Januari, menurut pejabat pendakwa raya negara.

Satu kes melibatkan seorang pelanggan yang memukul hingga mati seorang pelanggan lain yang menasihatkan dia agar memakai pelitup muka di sebuah pasar raya.

Kes-kes lain termasuk seorang yang sengaja melanggar beberapa orang pekerja perubatan dengan sebuah kereta, dan seorang telah ditangkap kerana menikam seorang inspektor kesihatan dengan sebilah belati ketika mengawasi pemeriksaan suhu.

Beberapa orang turut dituduh menggelapkan wang yang dikumpul dari penderma dana bagi membantu pesakit COVID-19, menjual peralatan perubatan yang rosak dan berbohong mengenai sejarah perjalanan atau keadaan kesihatan mereka.

“Sejak Januari hingga Julai, 5,797 orang telah ditangkap dan 6,755 orang telah didakwa,” menurut Supreme People’s Procuratorate menyatakan dalam satu kenyataan pada Khamis lepas.

Kenyataan itu tidak menjelaskan berapa ramai yang masih berada dalam tahanan atau sama ada segelintir yang telah dijatuhkan hukuman.

China telah berjaya mengawal penyebaran COVID-19 – sejak ia muncul di bandar tengah Wuhan pada Disember 2019 – dengan kawalan pergerakan yang ketat, pengesanan kontak yang agresif dan pengawasan secara ketat ke atas kawasan kejiranan.

Negara turut mengarahkan pelbagai aplikasi telefon pintar bagi mengesan di mana individu untuk mengenal pasti dengan cepat bagi kes-kes yang mungkin berlaku.

Pemakaian pelitup muka adalah mandatori di pasar raya, panggung wayang atau di dalam pengangkutan awam, serta ramai memilih untuk memakainya ketika berada di luar juga, sebagai satu langkah berjaga-jaga terhadap virus.

China tidak melaporkan sebarang jangkitan yang disebarkan pada peringkat tempatan sejak beberapa hari ini. — AFP

Advertisement