Anda di sini

Penggiat industri kreatif, pembikin filem perlu ada akreditasi

Advertisement
 Saifuddin (belakang, tengah) bersama para penerima surat tawaran pada majlis penyerahan surat tawaran dana kandungan digital (DKD), cek insentif tayangan filem cereka (ITFC) dan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara FINAS, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Pegawai  Eksekutif FINAS Ahmad Idham Ahmad Nazdri. — Gambar Bernama
DEMI NEGARA: Saifuddin (belakang, tengah) bersama para penerima surat tawaran pada majlis penyerahan surat tawaran dana kandungan digital (DKD), cek insentif tayangan filem cereka (ITFC) dan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara FINAS, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Ahmad Idham Ahmad Nazdri. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif khususnya dalam sektor perfileman negara perlu mempunyai akreditasi dalam kepakaran masing-masing agar mereka dapat memenuhi standard yang dikehendaki, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata akreditasi yang diberikan oleh badan profesional amat penting bukan sahaja bagi mengiktiraf kepakaran serta pengalaman para penggiat, tetapi juga bagi memastikan kualiti perfileman negara dapat ditingkatkan dan seterusnya melindungi industri tempatan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), di sini baru-baru ini.

Katanya, pemeteraian MoU  antara ketiga-tiga institusi dan badan itu hari ini dilihat mampu menjadi batu loncatan terutamanya dalam merealisasikan visi utama menjadi pengiktiraf utama bagi penggiat industri kreatif khususnya sektor perfileman negara.

“Ini mustahak untuk kita memperkasa latihan-latihan berkaitan dunia perfileman, yang kedua untuk akreditasi kepada dunia perfileman dan ketiga untuk menggalakkan self assesment dalam kalangan penggiat dunia filem,” katanya.

“Akreditasi bermatlamat tingkatkan kualiti dan bukannya perkara akademik tapi soal bagaimana nak memperkasa latihan sedia ada, melindungi industri tempatan termasuk semua yang terlibat, kru dan sebagainya dan nak mengalakkan self assesment sesama pemain industri,” tambahnya.

Katanya langkah itu juga membabitkan kerjasama yang akan memastikan pembangunan latihan akan diselenggara dengan tersusun serta menjadi pemantau bagi mewujudkan pangkalan data sistematik yang menyatukan pemain industri.

Jelasnya latihan yang disediakan oleh badan akreditasi juga mampu mempercepat proses peningkatan dan kebolehupayaan kerjaya dan kendiri individu.

Terdahulu, Saifuddin menyerahkan surat tawaran DKD yang diberikan FINAS berjumlah RM7.9 juta  membabitkan 37 syarikat produksi dan 16 penerima dana mikro.

Selain itu beliau turut menyampaikan cek ITFC di bawah Skim Wajib Tayang berjumlah RM1.8 juta kepada 14 syarikat yang telah menerbitkan 16 filem terdiri daripada pelbagai genre.

Pemberian dana ini adalah berdasarkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) yang dilancarkan pada 28 Julai lalu. — Bernama

Advertisement