Anda di sini

Penganggur seludup warga Indonesia dipenjara dua tahun 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas kesalahan menyeludup lima lelaki warga Indonesia yang dilakukannya pada Jun lalu. 

Tertuduh, Erry Eafandy Thamrin, 29, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibacakan terhadapnya. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai memerintahkan hukuman penjara dua tahun terhadap tertuduh dikuat kuasakan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 13 Jun lalu. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyeludup lima warga Indonesia dengan menggunakan sebuah kereta sewa pada 13 Jun lalu, di Jalan Simpang Kampung Pasir Tengah, Lundu pada jam 12.40 tengah malam. 

Berdasarkan fakta kes, kelima-lima lelaki tersebut yang merupakan buruh tapak binaan berjalan kaki dari Indonesia dan masuk ke Sarawak melalui jalan tikus. 

Mereka kemudian menunggu tertuduh di belakang sebuah kedai terletak di Kampung Biawak, Lundu, sebelum diambil oleh tertuduh yang memandu sebuah kereta sewa. 

Hasil siasatan juga mendapati tiga daripada mereka membayar RM600 setiap seorang kepada tertuduh untuk melakukan perjalanan itu manakala dua lagi dikenakan RM500 setiap seorang.  

Kesemua mereka ditahan oleh pihak berkuasa sebaik mereka tiba di sebuah jalan tikus di Jalan Kampung Pasir Tengah, Lundu. 

Lima lelaki yang berada di dalam kereta tertuduh ada mengemukakan dokumen perjalanan dan pasport tetapi ia tidak memaparkan sebarang cop kemasukan.

Terdahulu pada 15 Julai lalu, kesemua warga Indonesia itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan dikenakan dua sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Khas PATI yang bersidang di Kem Semuja, kerana gagal memaparkan dokumen perjalanan dan pas yang sah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement