Anda di sini

Kerajaan Sarawak komited bantu rakyat terjejas dalam tempoh PKP

Advertisement
 Gira (empat kanan) bersama yang lain memegang penyapu semasa perasmian Program Pencegahan Wabak COVID-19 dan Wabak Rabies serta Gotong-Royong Mega di Selangau, Sabtu lalu.
GOTONG-ROYONG: Gira (empat kanan) bersama yang lain memegang penyapu semasa perasmian Program Pencegahan Wabak COVID-19 dan Wabak Rabies serta Gotong-Royong Mega di Selangau, Sabtu lalu.

SIBU: Kerajaan Sarawak komited membantu rakyat di negeri ini yang terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang berkata untuk tujuan itu kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.15 bilion bagi memastikan tiada kelompok rakyat ketinggalan.

Beliau memberitahu, komitmen itu turut ditonjolkan kerajaan persekutuan menerusi peruntukan sejumlah RM250 bilion kepada rakyat Malaysia termasuk Sarawak.

“Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri k telah pun berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi kesan penularan pandemik COVID-19.

“Semua peruntukan disalurkan adalah untuk membantu dan menjaga kebajikan rakyat di Sarawak terutama kepada golongan yang tiada pendapatan dan terjejas akibat tidak dapat bekerja berikutan pelaksanaan PKP sejak Mac lalu,” katanya pada Program Pencegahan Wabak COVID-19 dan Wabak Rabies serta Gotong-Royong Mega di Selangau dekat sini Sabtu lalu.

Program tersebut dianjurkan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).

Katanya, seramai 7,300 keluarga menerima bantuan makanan diagihkan semasa PKP.

Sehubungan itu, Gira merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai daerah Selangau kerana bekerjasama dengan Pejabat Residen dan Pejabat Daerah membekalkan makanan kepada penduduk terjejas di Selangau.

“Penghargaan turut diberikan kepada semua petugas barisan hadapan (frontliner) dalam membantu menyalurkan bantuan makanan kepada rakyat di Selangau,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau amat bersyukur kerana Selangau masih dalam Zon Hijau walaupun pekan itu merupakan pusat persinggahan mereka yang datang dari Miri, Mukah, Sibu dan Kuching.

Advertisement