Anda di sini

Tiada lagi perbezaan jantina dalam pemberian anugerah Berlinale

Advertisement

ANUGERAH Silver Bear berasingan untuk pelakon lelaki terbaik dan pelakon wanita terbaik tidak akan ada lagi di Festival Filem Berlin pada masa depan, penganjur mengumumkan baru-baru ini, dan berkata mereka mahu menamatkan bentuk hirarki di antara kaum lelaki dengan kaum wanita.

Bermula tahun depan, Berlinale di ibu negara Jerman hanya akan menobatkan lakonan terbaik dalam watak utama dan watak sokongan sahaja.

Pengumuman itu menyusuli tahun-tahun di mana dunia telah digegarkan oleh skandal gangguan dan pencabulan seks MeToo yang tersebar jauh ke luar Hollywood.

Penamatan anugerah yang dipisahkan oleh jantina mencerminkan “isyarat bagi kesedaran yang lebih sensitif mengenai jantina dalam industri perfileman”, dua pengarah festival Mariette Rissenbeek dan Carlo Chatrian menyebut dalam satu kenyataan.

Selain Festival Filem Cannes dan Festival Filem Venice, Berlinale merupakan salah satu acara kemuncak di Eropah dalam kalendar industri perfileman tahunan.

Cannes masih memilih pelakon lelaki dan pelakon wanita terbaik, manakala Venice menganugerahkan piala Volpi kepada pelakon dari setiap jantina.

Berlangsung pada Februari, Berlinale pada tahun ini telah diadakan sebelum sekatan koronavirus dilaksanakan di kebanyakan negara di Eropah, manakala Cannes terpaksa dibatalkan.

Festival Venice akan diteruskan pada minggu ini di bawah langkah kawalan jangkitan yang ketat.

Berlinale pada tahun depan dirancang untuk berlangsung “secara fizikal” antara 11 hingga 21 Februari, dengan langkah untuk “memastikan kemungkinan terbaik bagi semua tetamu”, kata penganjur.

Tetapi perubahan dalam “struktur festival, pengaturcaraan filem dan jumlah filem yang dijemput” akan didedahkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, tambah mereka. — AFP

Advertisement