Anda di sini

Episod khas ‘West Wing’ untuk bantu kempen Michelle Obama

Advertisement
MICHELLE OBAMA
MICHELLE OBAMA

BARISAN pelakon drama TV politik yang disanjung ramai ‘The West Wing’ akan bersatu semula bagi satu episod khas untuk membantu kempen Michelle Obama bagi penyertaan pengundi, umum HBO Max baru-baru ini.

Martin Sheen, Rob Lowe dan Allison Janney akan membawa semula watak masing-masing sebagai anggota pentadbiran Demokratik yang fiksyen, untuk menyokong kempen ‘When We All Vote’ (Apabila Semua Kita Mengundi) menjelang pilihan raya pada November.

Penggambaran bagi episod khas ini – yang akan ditayangkan pada musim luruh ini – akan dibuat di atas sebuah pentas teater di Los Angeles, dan akan melakonkan semula episod ‘Hartsfield’s Landing’ dari musim ketiga drama terbitan NBC yang memenangi banyak anugerah Emmy itu.

Ia adalah kali pertama barisan asal yang masih hidup dan penciptanya Aaron Sorkin bersatu semula dalam tempoh 17 tahun, satu kenyataan dari platform penstriman HBO Max menyebut.

“Kami mempunyai penga-laman yang begitu unik dan indah sehinggakan kami tidak mahu kembali dan mengadakan versinya yang lebih rendah,” kata Bradley Whitford, yang membawa watak timbalan ketua kakitangan Rumah Putih yang tajam, Josh Lyman, dalam program ‘Today Show’ di saluran NBC.

“Ini adalah satu cara untuk menggunakan kami yang kembali bersatu semula ... untuk membuat kenyataan tentang galakan kepada rakyat untuk keluar mengundi.”

Siri itu bersiaran dari 1999-2006, seterusnya mengumpul 26 anugerah Emmy termasuk empat hadiah drama terbaik berturut-turut.

Ia menggambarkan apa yang berlaku di dalam Rumah Putih, dengan memberi tumpuan kepada hubungan di antara kakitangan berlatarbelakangkan geopolitik, pemilihan domestik dan komplot di Washington.

‘The West Wing’ membentuk ikutan yang hampir kultus dan memukau penonton di seluruh dunia, tetapi berakhir selepas musim ketujuh ketika penonton semakin berkurangan dan seorang lagi bintang, John Spencer, meninggal dunia.

Gambaran siri itu bagi seorang presiden Demokratik yang amat intelektual dan berakhlak mulia (Sheen) dikritik oleh segelintir pihak dari haluan kanan politik yang menggelar siri itu ‘The Left Wing’.

Episod ‘Hartsfield’s Landing’ menyaksikan watak Whitford membuat perancangan untuk mengambil hati pengundi di sebuah bandar rekaan terpencil di New Hampshire dengan nama yang sama di mana undi dikira serta-merta dan selalu meramalkan pemenang dalam pemilihan di negeri itu.

‘When We All Vote’ merupakan sebuah kumpulan ‘outreach’ yang dipengerusikan bersama oleh Obama, yang menjadi wanita pertama dari 2009-17, pelakon Tom Hanks dan lain-lain untuk meningkatkan penyertaan pada waktu pilihan raya. — AFP

Advertisement