Anda di sini

Petanque sukan untuk masyarakat berbilang usia, elak belia terlibat masalah sosial - Dr Abdul Rahman

Advertisement
Dr Rahman (tengah) ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama barisan atlet petanque Sarawak.
Dr Abdul Rahman (tengah) ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama barisan atlet petanque Sarawak.

KUCHING: Sukan petanque berpotensi untuk dijadikan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat usia sekali gus mampu membendung generasi muda daripada terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat. 

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sukan yang berasal dari Perancis itu dapat dimainkan setiap lapisan masyarakat dari kanak-kanak hingga ke warga emas. 

Malah, katanya, sukan itu juga tidak memerlukan kemahiran tinggi seperti sukan popular lain, bola sepak, badminton, tenis, golf dan sebagainya. 

“Apabila anak-anak kita tidak terlibat dengan sukan, mereka mungkin akan cenderung untuk mengamalkan budaya tidak sihat termasuk melepak.

"Jadi melalui sukan petanque ini, ia boleh dimainkan oleh kanak-kanak berusia empat tahun hingga warga emas kerana tidak memerlukan kemahiran tinggi maka mereka ini boleh diajak terlibat dengan sukan petanque ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kejohanan Petanque Berpasangan Terbuka Ambang Merdeka 2020 di Pusat Petanque Santubong dekat sini hari ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) berkata, sekiranya ramai masyarakat terlibat dengan petanque, Sarawak mampu menjadi lubuk dalam melahirkan pemain berkaliber.

"Sarawak sejak sukan ini memasuki Malaysia tidak pernah gagal melahirkan pemain berkaliber di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Kita mahu teruskan momentum ini terutama dalam kalangan pemain muda yang akan terlibat dengan Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor dan tidak mustahil Sarawak mampu mengembalikan kegemilangan kali ini," tegasnya.

Mengulas mengenai pembinaan Pusat Petanque Santubong, beliau memberitahu, pemilihan kampung itu sebagai lokasi pembinaan memandangkan petanque merupakan sukan masyarakat.

“Bukan itu sahaja, penduduk kampung ini yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur turut terlibat dengan sukan ini.

"Kampung ini sahaja mempunyai lebih dari 10 gelanggang petanque dan tidak pernah ketandusan melahirkan pemain berkaliber," tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Ahmad Rodzli Hashim berkata, kejohanan itu disertai 52 pasukan dari Kuching, Betong, Sarikei, Saratok, Bintangor, Sibu, Midi dan Pasukan Petanque SUKMA Sarawak 2021.

Jelasnya, kejohanan itu merupakan medium untuk menaikkan nama PSS dengan menggunakan kemudahan sedia ada dan seterusnya menjadi penganjur utama sukab ini di Sarawak. 

"Selain itu, objektif utama untuk memberi pendedahan kepada atlet SUKMA Sarawak dalam sukan ini. 

"Pada masa sama ia juga membuka ruang untuk PSS membina jaringan industri bersama jabatan dan agensi sukan di negeri ini," ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement