Anda di sini

‘Tenet’ Christopher Nolan dilihat penyelamat pawagam

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 19 Ogos 2020 ini menunjukkan papan iklan filem ‘Tenet’ di Sunset Strip di Hollywood Barat. ‘Tenet’, filem utama pada musim panas dilihat akan melancarkan semula industri pawagam yang diganggu oleh peraturan koronavirus di seluruh dunia yang amnya memaksa orang ramai duduk di rumah. — Gambar AFP
HARAPAN: Gambar fail yang diambil pada 19 Ogos 2020 ini menunjukkan papan iklan filem ‘Tenet’ di Sunset Strip di Hollywood Barat. ‘Tenet’, filem utama pada musim panas dilihat akan melancarkan semula industri pawagam yang diganggu oleh peraturan koronavirus di seluruh dunia yang amnya memaksa orang ramai duduk di rumah. — Gambar AFP

IA adalah filem utama pada musim panas - dan pengusaha pawagam, yang diganggu oleh peraturan koronavirus di seluruh dunia yang amnya memaksa orang ramai duduk di rumah, berdoa agar pengeluarannya akan melancarkan semula industri mereka.

Filem itu adalah ‘Tenet’, blockbuster pintar arahan Christopher Nolan yang merupakan gabungan di antara pengintipan dan sains fiksyen.

Selepas beberapa penundaan, ‘Tenet’, yang dibuat dengan bajet AS$200 juta, merupakan filem pertama seumpamanya yang berani melakukan pengeluaran pada waktu pandemik.

Disney, sebaliknya, membatalkan rancangan bagi pengeluaran skrin besar untuk filem utamanya ‘Mulan’, dan memilih untuk menayangkannya menerusi platform digital.

Dan filem James Bond terkini, ‘No Time to Die’, yang sepatutnya dikeluarkan pada April, hanya akan ditayangkan di pawagam pada November.

Tetapi Warner Bros menaruh kepercayaan kepada keupayaan Nolan untuk menarik orang ramai - dan dengan alasan yang baik.

Pembikinan semula filem-filem ‘Batman’ yang dia arah dalam bentuk trilogi ‘Dark Knight’ telah mengaut lebih AS$4 bilion.

Filem terakhirnya ‘Dunkirk’, yang memenangi tiga anugerah Oscar dan memperolehi lima pencalonan lain, termasuk satu untuk Nolan, memakan kos sebanyak AS$100 juta dan sudah mengaut lebih AS$526 juta.

‘Tenet’ muncul di skrin pada Rabu - bukan di Amerika Syarikat tetapi di lebih 70 buah negara, termasuk kebanyakan negara di Eropah, Kanada, Australia dan Korea Selatan.

Bagi AS, Warner Bros telah menundakannya selama seminggu dan turut mengharapkan hujung minggu cuti Hari Buruh yang penting, dengan pengeluaran yang dirancangkan pada 3 September.

Pengkritik di seluruh dunia telah menunjuk kepada ‘Tenet’ sebagai filem yang dapat menyelamatkan pawagam, malah BBC menggambarkan Nolan sebagai “santo penaung” bagi pawagam.

Pencipta ‘Inception’ dan ‘Interstellar’ itu sedar tentang pengaruhnya dalam industri perfileman, seperti apa yang dibuktikan oleh rencananya baru-baru ini dalam akhbar Washington Post.

“Tempoh sejak beberapa minggu lepas adalah satu peringatan, jika kita memerlukannya, bahawa terdapat bahagian dalam kehidupan yang jauh lebih penting daripada menonton filem di pawagam,” dia menulis.

“Tetapi apabila anda menimbang apa yang disediakan oleh panggung (wayang), mungkin tidak begitu banyak seperti apa yang anda mungkin fikirkan.”

‘Tenet’ mempunyai segalanya untuk menunaikan misinya. Tarikan skrip filem itu dicerminkan di dalam tajuknya, satu palindrom, iaitu satu perkataan yang dapat dibaca dalam kedua-dua arah – demikian juga, masa dapat dipusing ke belakang ataupun ke depan di dalam filem itu.

Filem itu nampak seperti sebuah filem perisik yang jelas dengan seorang ejen sulit - John David Washington, yang dilihat di dalam ‘BlacKkKlansman’ –  yang memburu Kenneth Branagh yang jahat dan mengancam manusia.

Cuma dalam stail Nolan yang tulen, terdapat kelainan kecil dalam cerita itu – khususnya watak-watak dapat menterbalikkan masa.

Mengambil kira sifat ‘ke depan-ke belakang’ dalam cerita itu – sebahagian daripadanya pada waktu yang sama – ia menjanjikan banyak ‘menggaru kepala’ pada hujung masa dua setengah jam tetapi filem itu juga padat dengan aksi kejar dan mencari ala 007.

Nolan mengakui pada Rabu lepas dalam satu sidang media dunia dari jauh bahawa dia dipengaruhi artis Belanda MC Escher serta filem Bond pada 1977 ‘The Spy Who Loved Me’, yang dia tonton ketika berusia tujuh tahun.

“Apa yang saya ingat daripadanya adalah rasa kemungkinan bahawa anda dapat melompat menerusi skrin itu dan pergi ke mana-mana sahaja di dunia dan melihat perkara paling menakjubkan,” katanya.

“Ia adalah eskapisme tulen dengan komponen fantasi yang amat baik padanya.

“Saya sudah menghabiskan kebanyakan karier saya untuk cuba kembali kepada perasaan itu dan cuba memberikan perasaan itu kepada audiens. Membawanya balik kepada rasa ketakjuban itu tentang kemungkinan bagi apa yang dapat dibuat oleh filem dan ke mana ia dapat membawa anda.”

‘Tenet’, yang mengadakan penggambaran di tujuh buah negara, ternyata memenuhi matlamat tersebut.

Tetapi sentuhan Nolan adalah seorang wira berkulit hitam, sesuatu yang belum lagi dirangkul oleh pembuat keputusan bagi francais 007.

Barisan pelakon termasuk Robert Pattinson dan Elizabeth Debicki, yang sekali lagi membawa watak seorang wanita yang dihina dan mendapatkan semula kebebasannya, seperti apa yang dia buat di dalam filem arahan Steve McQueen ‘Widows’.

Di sudut aksi tulen, terdapat gema daripada letupan dalam ‘Heat’ atau ‘The Matrix’, termasuk letupan sebuah pesawat penumpang sebenar – bukan dijana oleh komputer.

Nolan dan Warner Bros pasti berharap untuk mendapatkan balik kebanyakan daripada perbelanjaan bagi penerbitan mereka, jika tidak lebih baik lagi.

Sementara itu pengunjung pawagam pasti berharap filem itu akan mendorong orang ramai untuk kembali berbondong-bondong dan kemudian terus kembali       sementara mereka cuba membina semula industri mereka. — AFP

Advertisement