Anda di sini

Pusat hiburan kanak-kanak dibenarkan buka dan operasi penerbangan seperti biasa bermula 1 September

Advertisement
Uggah (kanan) pada sidang media hari ini dan turut kelihatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. - Gambar UKAS.
Uggah (kanan) pada sidang media hari ini dan turut kelihatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. - Gambar UKAS.

KUCHING: Semua operasi sektor penerbangan keluar dan masuk ke Sarawak akan beroperasi seperti biasa berkuatkuasa 1 September nanti. 

Perkara itu dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang memberitahu, keputusan itu hasil mesyuarat yang diadakan hari ini dan dipersetujui kabinet negeri. 

Jelasnya, bermula 1 hingga 31 Ogos 2020, jumlah penerbangan dikurangkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini. 

"Semua sektor penerbangan keluar dan masuk ke Sarawak akan beroperasi seperti biasa berkuatkuasa 1 September 2020 dan ini akan menyaksikan pertambahan jumlah penerbangan di negeri ini," katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di DUN lama di sini, hari ini. 

Selain itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah membentangkan Garis Panduan (SOP) bagi Pusat Hiburan Kanak-Kanak yang bertempat di pusat beli belah atau konsep tertutup dibenarkan untuk beroperasi mulai 1 September 2020.

Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan juga akan mengumumkan SOP berkaitan aktiviti sukan yang telah diluluskan. 

Selain itu, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah mengeluarkan 12 notis kompaun kerana tidak mematuhi SOP iaitu Kuching (6), Padawan (2), Sarikei (2), Kota Samarahan (1) dan Betong (1).

"PDRM akan terus memperketatkan SOP termasuk pemakaian pelitup topeng muka di tempat awam. 

"Hari ini sebanyak 1,627 premis telah dipantau iaitu pasaraya (176), restoran (307), kilang (16), bank (109), pejabat kerajaan (54), penjaja (67), pasar tani/awam (74), tempat ibadah (68), tempat riadah (44), tapak pembinaan (24) dan lain-lain (688).

"Seramai 718 anggota pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang terdiri daripada PDRM (327), ATM (63), RELA (145), APM (144) dan PBT (39)," ujarnya.

Tambah Uggah, pada hari ini terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah bersempena dengan Op Benteng iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1). 

"Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,164 jumlah kenderaan telah diperiksa," katanya lagi.

  • oleh
  • Advertisement