Anda di sini

Perogol wanita OKU kekal dipenjara 12 tahun

Advertisement
 Perayu (duduk) selesai prosiding kes di Kompleks Mahkamah Kuching.
RAYUAN DITOLAK: Perayu (duduk) selesai prosiding kes di Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak rayuan dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadap seorang lelaki tempatan yang disabitkan atas kesalahan merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 23 tahun.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew terhadap perayu berusia 31 tahun itu, selepas mendapati sabitan terhadapnya adalah selamat dan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah terdahulu adalah wajar.

Jelasnya dalam penghakiman juga, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai alasan untuk mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terdahulu.

“Perayu dalam rayuannya di mahkamah rendah terdahulu mengatakan dia mahu berkahwin dengan mangsa.

“Walaupun perayu menyatakan demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara untuk melepaskannya daripada kesalahan tersebut dan ia juga bukanlah alasan kepada perayu supaya diberikan pengurangan hukuman.

“Fakta kes dan tuduhan terhadap mangsa juga jelas menunjukkan perayu merogol mangsa yang merupakan seorang OKU semasa berada di ladang kelapa sawit,” ujarnya semasa menolak rayuan perayu.

Berdasarkan pertuduhan, perayu yang mengetahui mangsa merupakan seorang OKU didakwa merogol mangsa antara Jun 2018 hingga Februari 2019 di sebuah ladang kelapa sawit terletak di Serian.

Mangsa, seorang yang tidak lancar bercakap serta mempunyai tahap intelektual yang rendah kemudian melahirkan bayi lelaki pada 11 September 2019.

Difahamkan, perayu merupakan abang sepupu kepada mangsa.

Dia mengaku bersalah apabila didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kota Samarahan Hakim Afidah Abdul Rahman kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta mengenakan lima sebatan terhadapnya pada 5 Disember 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hasan manakala perayu diwakili peguam, Simon Siah.

  • oleh
  • Advertisement