Anda di sini

Fazri tampil dengan single sulung ‘Ralaa Balaron’

Advertisement
 

PERBEZAAN suku kaum tidak menghalang Fazri Basri, 29, anak kelahiran Lahad Datu untuk menerima tawaran bagi merakamkan lagu single sulung dalam bahasa Murut.

Cabaran selama lebih enam bulan bagi memahami dan menyiapkan diri untuk membuat rakaman lagu ‘Ralaa Balaron’ ciptaan sepenuhnya oleh komposer Gasiun Ann Felix @ Yun Yun itu akhirnya lagu ini berjaya dikeluarkan pada 7 Ogos oleh Carlvaru Productions.

“Walaupun saya berbangsa Bugis dan Idahan, namun dengan tunjuk ajar komposer, akhirnya saya menerima dan mula bersedia untuk membuat rakaman.

“Ini merupakan lagu yang kedua komposer tawarkan kepada saya, untuk lagu yang pertama saya terpaksa menolaknya kerana mempunyai masalah kesihatan pada awalnya,” katanya.

Mula menceburi bidang nyanyian sejak kecil lagi atas galakan ibu apabila sering terlibat dalam pertandingan nyanyian sempena kemerdekaan dan nasyid semasa masih di sekolah rendah lagi.

Tahun 2013 menjadi detik bersejarah bagi beliau apabila dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan nyanyian peringkat daerah

Lahad Datu sempena sambutan Tahun Baharu dan menjuarai pertandingan nyanyian Sukan Integrasi KEMAS Negeri Sabah pada tahun 2018.

Muncul dengan single sulung ‘Ralaa Balaron’, genre Sumazau yang mengisahkan seorang lelaki yang terpikat dengan seorang gadis cantik bernama Clara yang berasal dari Balaron (nama tempat di Sepulut).

Fazri berharap agar single ini mendapat tempat di hati peminat lagu-lagu tempatan di Sabah khususnya yang bersuku kaum Murut.

Harapan beliau juga agar kehadirannya yang masih baharu dalam dunia seni ini disedari ramai dan berazam untuk berkarya dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Advertisement