Anda di sini

Merrywati pesilat ketujuh Sabah sertai skuad kebangsaan

Advertisement
MERRYWATI
MERRYWATI

KOTA KINABALU: Merrywati Manuil, 19, pesilat ketujuh Sabah dipanggil menyertai latihan pusat sepenuh masa pasukan silat kebangsaan.

Pesilat dari Keningau dengan acara utamanya Solo Kreatif Puteri itu dipanggil menyertai skuad kebangsaan minggu lalu.

Enam pesilat yang sudah berada dalam latihan pusat kebangsaan di Pahang sebelum ini terdiri daripada Luqman Laji dari acara Jurus Tunggal Putera, Mohammad Amiruddin Adzmi (Tanding Putera G), Mohd Syazlan Yuga (Jurus Wajib Putera), Nor Farah Mazlan (Tanding Puteri A), Nur Syazerra Hidayah Idris (Tanding Puteri B) dan Siti Shazwana Ajak (Tanding Puteri D).

"Ia satu lagi perkembangan baik buat sukan silat Sabah. Merrywati adalah antara anggota skuad emas Sabah pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 Perak dan pemenang pingat emas Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19 2019 di Pahang.

"Mempunyai tujuh pesilat dalam skuad kebangsaan adalah satu pencapaian. Ini adalah hasil kerja keras dan komitmen semua. Kami akan terus berusaha agar Sabah terus jadi lubuk pesilat yang mempu memartabatkan negara dan Sabah di persada antarabangsa," kata Yang Dipertua PSS PESAKA Sabah, Datuk Iliyas Ibrahim ketika dihubungi di sini semalam.

"Kita juga bertuah kerana memiliki ramai atlet berpotensi dan bersemangat kental. Terima kasih juga kepada kerajaan yang sentiasa membantu membolehkan pesilat kita menjalani latihan sistematik di samping pendedahan di kejohanan-kejohanan besar," tambahnya.

Latihan pusat kebangsaan itu adalah sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Silat Dunia Ke-19 di Kuching, Sarawak pada 2021.

Sambil itu, Iliyas berkata, pesilat yang sudah dalam senarai skuad Sabah ke SUKMA Johor tahun depan masih menjalani latihan di kediaman masing-masing.

"Kami belum dapat buat latihan pusat kerana masih mencari venue sesuai yang menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) dan bajet Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah," kata Iliyas.

  • oleh
  • Advertisement