Anda di sini

AirAsia.com, Agoda umum perkongsian strategik

Advertisement

KUALA LUMPUR: AirAsia.com, platform e-dagang pelancongan dan gaya hidup berkembang pesat di ASEAN dan Agoda, platform pelancongan digital terkemuka dunia mengumumkan perkongsian strategik bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Asia Tenggara dan mengukuhkan tawaran aplikasi Super AirAsia.

Perkongsian itu yang melibatkan penyedia perkhidmatan pelancongan dalam talian yang utama di rantau ini, akan memanfaatkan kekuatan bersinergi bagi kedua-dua platform digital berkenaan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi perkongsian inventori penerbangan dan hotel, pelancong akan mendapat akses pilihan kepada pelbagai produk yang lebih meluas, menikmati kemudahan dan manfaat nilai yang lebih tinggi.

Inisiatif daripada kerjasama itu merangkumi perjalanan, keistimewaan keahlian serta pemasaran produk secara bersama-sama.

Pelanggan AirAsia.com kini boleh menikmati pelbagai tawaran melibatkan lebih 600,000 hartanah Agoda beserta harga tambang AirAsia yang lebih bernilai dengan tempahan menerusi SNAP -- menawarkan pakej penerbangan dan hotel dengan jaminan harga terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, perkongsian dengan Agoda adalah sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk merancakkan kembali pelancongan dengan jangkaan pembukaan semula sempadan di Asia Tenggara dalam masa terdekat.

“Kami mengambil peluang pada masa ini untuk bekerja secara inovatif dengan rakan strategik seperti Agoda bagi memenuhi keperluan perjalanan dan gaya hidup pelanggan kami dengan lebih baik,” katanya dan menurutnya pelbagai usaha sama strategik akan diumumkan pada masa yang sesuai.

CEO Agoda John Brown berkata: “Minat orang ramai untuk melancong masih kuat dan kami yakin kerjasama dengan AirAsia akan membantu pelancong mencari tawaran nilai lebih hebat dengan mudah untuk melancong.” - Bernama 

Advertisement