Anda di sini

`Sogit tanah' ritual paya untuk dipulihara

Advertisement
 Penaung Adat Istiadat Mamanta dan Sogit Tanah Membakut, Tialum Sawoi mengendalikan upacara ritual Sogit Tanah yang diadakan baru-baru ini.
SOGIT TANAH: Penaung Adat Istiadat Mamanta dan Sogit Tanah Membakut, Tialum Sawoi mengendalikan upacara ritual Sogit Tanah yang diadakan baru-baru ini.

ADAT dan budaya melambangkan identiti bangsa. Rumpun bangsa itu menjadi terkenal lantaran budayanya mekar subur di laman kehidupan generasi sepanjang zaman.

Hebatnya sesuatu tamadun bangsa itu apabila pokoknya teguh mengakar berpasak ke bumi. Begitu juga sebaliknya. Pohon akan pupus dengan sendirinya apabila ranting-ranting warisan budaya itu patah dan gugur satu persatu.

 Setiausaha Adat Istiadat Adat Mamanta Membakut, Flora J Simon (dua kiri) bersama sebahagian jawatankuasa pelaksana majlis berkenaan.
PEWARIS BUDAYA: Setiausaha Adat Istiadat Adat Mamanta Membakut, Flora J Simon (dua kiri) bersama sebahagian jawatankuasa pelaksana majlis berkenaan.

Rakyat majmuk multi-etnik di Sabah mewarisi kepelbagaian adat dan budaya unik lagi luar biasa. Rona-rona kehidupan ini menjadi amalan turun-temurun. Mungkin turun dari langit ketujuh. Atau terhimpun seperti ramuan 44 macam tumbuhan meliar di hutan, menyelam di air atau berterbangan di udara.

Khazanah adat dan budaya ini perlu dipertahan untuk tatapan generasi masa depan. Jika tidak, ia akan pupus ditelan zaman tatkala pupusnya generasi tua. Tanpa pewaris, adat dan budaya itu hanya tinggal sejarah tersimpan di kaban-kaban. Yang tinggal hanyalah kenangan, penyesalan dan nostalgia.

 Sebahagian penduduk yang hadir sama-sama menikmati hidangan yang disediakan di kawasan paya lapang pada hari berkenaan.
MAKAN BERSAMA: Sebahagian penduduk yang hadir sama-sama menikmati hidangan yang disediakan di kawasan paya lapang pada hari berkenaan.

Menyedari pentingnya adat sebagai identiti bangsa, ada peribahasa Melayu dengan tegas menyebut `biar mati anak, jangan mati adat'. Begitu teguhnya orang dulu-dulu mempertahankan adat dan budaya.

Komuniti Kadazandusun di daerah kecil Membakut juga mempunyai keunikan adat dan budaya tersendiri yang mungkin tidak diketahui umum. Adat Ritual Paya atau juga dikenali `Sogit Tanah'  merupakan satu daripada segmen acara tahunan Adat Istiadat Mamanta yang masih dipraktikkan sehingga hari ini.

Berpusat di Kampung Dondok Limadang, Membakut, acara ritual `Sogit Tanah' itu telah dijayakan baru-baru ini hasil dayausaha dan inisiatif sekelompok komuniti kecil yang kuat berpegang adat dan mahu ia terus  berkembang subur.

Dengan slogan `Bersama Mengekalkan Adat Tradisi Nenek Moyang Kita', program sehari itu dimulakan dengan penduduk bergotong royong membina khemah di kawasan lapang, kemudian penduduk bergotong royong menyediakan hidangan makanan tradisi, termasuk menyembelih, memasak dan membungkus.

 Penaung Adat Istiadat Mamanta dan Sogit Tanah Membakut.
TIALUM SAWOI: Penaung Adat Istiadat Mamanta dan Sogit Tanah Membakut.

Hidangan `Sogit Tanah' kepada `panjaga tanah' dibungkus menggunakan daun `pokok daingin' terdiri daripada  tujuh bungkus Nasi Putih, tujuh bungkus Nasi Pulut Kunyit (Kuning), tujuh bungkus lauk ayam dan tujuh bungkus lauk babi.

Setiap bungkusan yang disebut `linopot' itu pula turut diselitkan telur rebus.

Turut dijadikan sebagai hidangan kepada penjaga tanah termasuk tapai, sehelai kain hitam, penyikat rambut dan minyak kelapa serta satu set `tingaton' bersama rokok.

Penaung Adat Istiadat Mamanta dan Sogit Tanah Membakut, Tialum Sawoi, berkata acara berkenaan diadakan sebagai memberkati kawasan tanah yang merupakan sumber rezeki dan kehidupan penduduk setempat.

Katanya, penduduk percaya bahawa tanah mempunyai penjaga yang harus `diberi makan' secara berkala.

Mengikut kepercayaan, katanya, hasil tanaman penduduk seperti padi tidak begitu menjadi atau diserang serangga sekiranya tanah tidak diberi `sogit'.

"Kepercayaan penduduk kampung ialah penjaga tanah harus dijaga supaya ia memberkati setiap usaha pertanian yang dijalankan oleh penduduk," katanya.

Sehubungan itu, Tialum berharap agar warisan budaya berkenaan terus dipertahankan oleh generasi muda, bukan saja bagi memastikan pengeluaran hasil pertanian terus meningkat, tetapi juga sebagai lambang kehidupan masyarakat setempat.

 Antara aktiviti yang dijalankan pada hari berkenaan, iaitu memasak nasi menggunakan kayu api sebagai hidangan bersama.
GOTONG ROYONG: Antara aktiviti yang dijalankan pada hari berkenaan, iaitu memasak nasi menggunakan kayu api sebagai hidangan bersama.

Sementara itu, Setiausaha Adat Istiadat Adat Mamanta Membakut, Flora J Simon, berkata penganjuran program itu adalah hasil inisiatif kumpulan penduduk yang bersikap prihatin untuk menjaga adat-istiadat kampung yang diwarisi sejak sekian lama.

Beliau berkata tujuan utamanya adalah untuk memastikan ia dapat diwarisi oleh generasi muda selain memastikan penduduk dalam keadaan sihat serta pendapatan hasil pertanian terus bertambah dari semasa ke semasa.

 Sebahagian daripada hidangan yang disediakan sempena Sogit Tanah yang bertujuan memberi makan kepada penjaga tanah.
HIDANGAN ISTIMEWA: Sebahagian daripada hidangan yang disediakan sempena Sogit Tanah yang bertujuan memberi makan kepada penjaga tanah.

Sambil berterima kasih kepada penduduk yang menjayakan program itu, beliau berkata pada masa depan pihaknya akan berusaha untuk mendokumentasikan pelbagai adat istiadat penduduk Membakut.

"Ini adalah sejarah warisan budaya kita dan ia harus dijaga dan dipulihara, jika bukan kita yang melakukannya hari ini, dikhuatiri ia akan pupus pada masa depan," katanya.

 Sebahagian daripada hidangan yang disediakan sempena Sogit Tanah yang bertujuan memberi makan kepada penjaga tanah.
HIDANGAN ISTIMEWA: Sebahagian daripada hidangan yang disediakan sempena Sogit Tanah yang bertujuan memberi makan kepada penjaga tanah.

Flora mengakui daerah kecil Membakut mempunyai pelbagai adat istiadat yang menarik seperti acara Mamanta, yang juga berpotensi dikembangkan menjadi salah satu produk pelancongan.

Menurutnya, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan setiap adat yang dipraktikkan oleh penduduk setempat terus berkembang subur dan `tidak lekang dek panas dan hujan.'

Advertisement