Anda di sini

Kes culik di Miri selesai kurang 12 jam, lima suspek diberkas

Advertisement
 

MIRI: Polis berjaya menyelesaikan kes culik melibatkan seorang lelaki dalam tempoh kurang daripada 12 jam susulan penangkapan lima suspek lelaki di sini sekitar jam 1 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kelima-lima suspek yang berusia dalam lingkungan  18 hingga 40 tahun. 

"Polis berjaya menangkap lima suspek berkait kes culik seorang lelaki di Jalan Bintang sekitar jam 4 petang semalam (Selasa)  

"Kesemua suspek ditangkap di sebuah hotel di pusat bandar awal pagi ini (Rabu) sekitar jam 1 pagi," katanya. 

Lim berkata dalam tangkapan itu juga polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan suspek dalam insiden terbabit. 

Dalam pada itu, Lim mendedahkan motif di sebalik kejadian culik itu dipercayai berkaitan dengan perniagaan yang tidak sah. 

"Polis menyiasat kes ini dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," tambah beliau. 

Pada Selasa, video penculikan mangsa terbabit tular di media sosial memaparkan mangsa ditolak masuk ke dalam MPV secara paksa oleh suspek-suspek di Jalan Bintang di sini. 

Bagaimanapun, mangsa ditemui selamat dihadapan sebuah bank di Jalan Merbau di pusat bandar kira-kira jam 6 petang. 

  • oleh
  • Advertisement