Anda di sini

Neelofa Duta Rantau Asia Tenggara Lancome yang pertama

Advertisement
__alt__

PADA 7 Ogos yang lalu, Lancome telah mengumumkan pelakon dan pengacara popular, Noor Neelofa Mohammad Noor atau Neelofa sebagai Duta Rantau Asia Tenggara pertama, dalam langkah yang belum pernah diambil sebelum ini. Pemilihan Neelofa sebagai duta menjadikan beliau orang Malaysia pertama yang mewakili jenama produk kecantikan Perancis ini di rantau Asia Tenggara.

Pelantikan pelakon, usahawan, dan pengacara TV ini menandakan tonggak penting dalam menghubungkan warisan ‘joie de vivre’ ikonik Lancome dalam landskap kecantikan moden yang pelbagai dan sofistikated.

Menurut Neelofa, Lancome telah banyak menyokong kerjaya beliau sejak lima tahun ini.

“Sudah lama saya menyimpan impian untuk bekerjasama dengan jenama yang mengutamakan kebahagiaan, cita-cita, dan menjalani kehidupan sepenuhnya dengan indah dan bermakna.

“Saya berasa terharu dapat bekerjasama dengan Lancome di bawah peranan baharu ini, kerana saya percaya bahawa kisah, warisan, dan pengalaman bersama amatlah penting untuk wanita terutama pada masa-masa ini,” kata Neelofa.

Kecantikan universal merangkumi kekuatan, kebebasan, dan kegagahan feminin. Dalam hal ini, Neelofa akan mewakili ketiga-tiga kategori iaitu penjagaan kulit, peralatan solek, dan wangian di seluruh pasaran Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Thailand. Neelofa juga akan tampil dalam kempen Hari Raya yang pertama untuk Lancôme pada tahun 2021.

Pengurus Jeneral Jenama Lancome, Angeline Foo berkata dalam satu kenyataan, “Neelofa adalah lambang wanita Lancôme yang berkarisma. Kecantikan luarannya adalah cerminan kebahagiaan dalamannya. Setelah lima tahun kami bekerja dengannya, kami merasa sangat bangga dapat meraikan kejayaan besar Neelofa setelah dinobatkan sebagai Duta Besar Asia Tenggara (SEA) pertama untuk Malaysia dan juga rantau ini.”

“Ini adalah usaha bersama antara jenama berusia 85 tahun, serum # 1 di Asia – Advanced Genifique … dengan seorang bintang terkemuka iaitu Neelofa. Di sini, ikon saling bertemu ikon,” katanya.

Dalam melambangkan kewanitaan dan keanggunan moden, wanita-wanita Lancome diteladani duta dan ikon antarabangsa terkenal seperti Kate Winslet, Julia Roberts, Penelope Cruz, Lily Collins, Zendaya, Amanda Seyfried, Lupita Nyong’o, dan Taylor Hill, yang memberi inspirasi kepada wanita melalui keyakinan, kebebasan, dan kekuatan dalaman mereka.

Seiringan dengan itu, daya tarikan Neelofa yang menawan, kecerdikannya yang luar biasa, dan keanggunan abadinya melambang kan identiti dan nilai-nilai Lancôme dalam peranan beliau sebagai duta jenama yang terunggul Rantau Asia Tenggara.

Pelantikan Neelofa dibuat melalui pengumuman countdown Facebook di mana para influencer, rakan media, dan peminatnya, menyaksikan pelancaran kempen #LiveYourStrength, bertujuan untuk memperkasa wanita supaya tampil lebih kuat untuk lalui masa-masa yang mencabar ini.

MENGENAI NEELOFA

Noor Neelofa Mohd Noor, atau lebih dikenali sebagai Neelofa, adalah penerima gelaran Forbes Under 30 Asia pada tahun 2017 dan sebagai seorang yang tidak asing dalam dunia hiburan dan perniagaan, dia terus menempuh setiap halangan demi kejayaan.

Sebagai usahawan, pelakon, dan pengacara TV yang berjaya, Neelofa berubah dari seorang ratu cantik remaja pada tahun 2010 ke tetamu khas barisan depan di minggu fesyen di Milan, Paris, New York, dan London. Sementara perniagaannya pula telah mendapat perhatian tempatan dan antarabangsa di bawah kepimpinannya.

Neelofa telah merangkul pelbagai anugerah dan pencapaian melalui label fesyennya – Naelofar – yang merupakan salah satu jenama tudung terkemuka dan paling berjaya di Malaysia.

Beliau juga merupakan seseorang yang fasih berbicara, lantas sering diundang untuk berucap di forum dan ceramah. Antaranya, di Sidang Kemuncak Forbes Asia 2017 di Manila, UNDP-MiSK 2017 di New York, dan Sidang Kemuncak Forbes 2017 di Boston.

Usaha yang paling baru bagi individu berusia 31 tahun ini adalah menubuhkan Pertubuhan Kasih Neelofa, sebuah dana amal bertujuan menolong orang yang kurang bernasib baik, masyarakat, dan hal-hal kepercayaan.

Beliau memiliki pengaruh yang kuat di media sosial dengan 7.5 juta pengikut di Instagram, 2.6 juta pengikut di Twitter dan 1.5 juta pengikut di Facebook.

Advertisement