Anda di sini

‘The Rock’ ungguli senarai pelakon dengan pendapatan tertinggi Hollywood

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan aktor Dwayne ‘The Rock’ Johnson menghadiri tayangan perdana filem ‘San Andreas’ di Hollywood pada 26 Mei 2015. ‘The Rock’ telah dinamakan sebagai pelakon dengan pendapatan tertinggi di Hollywood bagi tahun kedua berturut-turut. – Gambar AFP
PALING HEBAT: Gambar fail menunjukkan aktor Dwayne ‘The Rock’ Johnson menghadiri tayangan perdana filem ‘San Andreas’ di Hollywood pada 26 Mei 2015. ‘The Rock’ telah dinamakan sebagai pelakon dengan pendapatan tertinggi di Hollywood bagi tahun kedua berturut-turut. – Gambar AFP

DWAYNE ‘The Rock’ Johnson telah dinamakan sebagai pelakon dengan pendapatan tertinggi di Hollywood bagi tahun kedua berturut-turut untuk mendahului senarai yang didominasi kontrak Netflix yang lumayan.

Bekas ahli gusti profesional itu mendapat AS$87.5 juta bagi tahun berakhir Jun 2020, menurut ranking tahunan Forbes.

Angka itu – turun sedikit berbanding pendapatan sebanyak AS$89.4 juta pada tahun lepas, tetapi selesa di hadapan Ryan Reynolds di tempat kedua  (AS$71.5 juta) – dirangsang oleh bayaran sebanyak AS$23.5 juta yang diterima oleh Johnson bagi filem aksi Netflix yang akan datang ‘Red Notice’ selain pengendorsan.

Netflix mengeluarkan lebih sesuku daripada semua pendapatan yang diterima oleh kelompok 10 teratas pada tahun ini.

Artis senarai A lain yang mendapat manfaat daripada AS$140 juta yang dikeluarkan oleh gergasi penstriman itu termasuk Reynolds (‘Six Underground’ dan ‘Red Notice’), Mark Wahlberg di tempat ketiga (‘Spenser Confidential’) dan Ben Affleck di tempat keempat (‘The Last Thing He Wanted’).

Pencipta ‘Hamilton’, muncul kali pertama dalam senarai terbabit selepas Disney membayar $75 juta untuk hak produksi sensasi Broadway tersebut yang mendapat sambutan luar biasa menerusi penstriman Disney+ bulan lepas.

Bintang-bintang lama seperti bintang Bollywood Akshay Kumar dan legenda kungfu Jackie Chan turut kembali ke dalam senarai bersama-sama Will Smith dan Adam Sandler.

Tiada dalam senarai tahun ini ialah bintang-bintang filem ‘Avengers’ keluaran Marvel yang mendominasi tahun lepas apabila francais filem itu mencipta rekod demi rekod di layar perak.

Namun Vin Diesel, tonggak francais popular ‘Fast & Furious’ kembali di tangga kelima dengan $54 juta.

Ranking tersebut tidak menyenaraikan pelakon wanita yang akan diterbitkan dalam senarai berasingan bulan depan.

10 TERATAS:

1. Dwayne Johnson ($87.5 juta)

2. Ryan Reynolds ($71.5 juta)

3. Mark Wahlberg ($58 juta)

4. Ben Affleck ($55 juta)

5. Vin Diesel ($54 juta)

6. Akshay Kumar ($48.5 juta)

7. Lin-Manuel Miranda ($45.5 juta)

8. Will Smith ($44.5 juta)

9. Adam Sandler ($41 juta)

10. Jackie Chan ($40 juta)

Advertisement