Anda di sini

Manfaat Geran Agropreneur Muda perkasa usahawan muda Sabah

Advertisement
 Che Abdullah (kiri) melawat ladang tanaman limau kasturi yang menerima bantuan GAM.
LAWATAN: Che Abdullah (kiri) melawat ladang tanaman limau kasturi yang menerima bantuan GAM.

LANGKAH kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membuka tempoh permohonan Geran Agropreneur Muda (GAM) sepanjang masa beri peluang besar kepada usahawan memperkasakan perusahaan yang dijalankan.

Usaha itu bukan sahaja mampu membantu golongan usahawan malah ia juga satu galakan besar agar lebih ramai menceburi bidang keusahawanan terutama golongan muda.

MAZLEE
MAZLEE

Para usahawan di negeri ini tidak ketinggalan untuk merebut peluang berharga untuk memohon dan menjadi penerima GAM untuk membangunkan serta memperluaskan lagi perusahaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sejak diperkenalkan pada 2016, seramai 505 usahawan di Sabah menerima manfaat menerusi pemberian GAM.

ANIS NADIA
ANIS NADIA

Menurutnya, sehingga 31 Mei 2020, sejumlah RM7.23 juta GAM diperuntukkan untuk usahawan di negeri ini membabitkan pelbagai sektor.

Katanya, daripada 505 usahawan itu, ia termasuklah seramai 299 usahawan dari sektor tanaman, 482 orang dari sektor perikanan, 33 orang dari sektor ternakan, dan 134 orang sektor industri makanan.

Beliau berkata demikian sempena lawatan Program Lawatan Kerja Agropreneur Muda ke Kota Belud kelmarin.

 Produk tanaman limau kasturi yang dihasilkan ladang usahawan tempatan Sabah.
LIMAU: Produk tanaman limau kasturi yang dihasilkan ladang usahawan tempatan Sabah.

Che Abdullah berkesempatan melawat tapak perusahaan penerima GAM iaitu ladang tanaman limau kasturi di Kampung Lepak Kupang dan pusat pemprosesan kordial dan jus di Kampung Kulambai Kota Belud.

"Melihat kepada kejayaan kedua-dua usahawan tempatan Sabah ini, saya berharap lebih ramai lagi usahawan muda mampu menghasilkan produk yang berkualiti dalam bidang pertanian dan industri makanan.

"Pemberian GAM ini juga memberi peluang yang cukup besar kepada anak-anak muda untuk menceburi bidang ini.

"Geran yang diberikan kerajaan ini bukan sahaja membantu memajukan perusahaan mereka malah MAFI menerusi Unit Agropreneur Muda juga sentiasa memantau dan melawat ke tapak projek peserta secara berterusan.

"Usaha ini diharap menarik lebih ramai golongan muda meminati sektor pertanian dan sekaligus membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan negara," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan para usahawan sedia ada supaya berusaha untuk mendapatkan sijil-sijil tertentu bagi membantu memperluaskan pasaran produk yang dihasilkan.

Sementara itu, bagi pengusaha projek tanaman limau kasturi Mazlee Utul, 38, dengan adanya bantuan GAM, ia membantu golongan usahawan baharu untuk memperoleh kemudahan dalam meningkatkan kualiti dan penghasilan produk tanaman.

Beliau menerima bantuan GAM pada 2019 dengan bantuan peralatan seperti mesin rumput dan pam air untuk semburan racun bernilai RM10,000.

 Pusat pemprosesan jus buah-buahan dan produk Fruitjoey di Kampung Kulambai Kota Belud.
FRUITJOEY: Pusat pemprosesan jus buah-buahan dan produk Fruitjoey di Kampung Kulambai Kota Belud.

"Geran ini sememangnya sangat membantu usahawan seperti kami yang baharu bermula memandangkan untuk mendapat mesin dan peralatan lain harganya agak mahal.

"Menerusi bantuan ini, kami terus dapat kemudahan untuk tingkatkan pembukaan tanah," katanya.

Mazlee berkata, projek berkenaan dijalankan bermula 2015 membabitkn sebanyak 400 pokok dengan keluasan kira-kira dua ekar tanah.

Menurutnya, pengeluaran buah limau kasturi sememangnya meningkat dengan penggunaan baja organik dan baja tambahan.

"Sebulan hasil kutipan sekitar satu hingga dua tan dengan harga pasaran yang turun naik pada kadar harga terendah RM4 hingga RM9 sekilo.

"Setakat ini, pasaran kami selain sekitar daerah Kota Belud, limau kasturi ini juga dipasarkan ke daerah lain termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Kudat, dan Kota Marudu.

"Bermula Januari tahun ini, kami turut memulakan tanaman pisang Sabah memandangkan tanaman pisang ini mempunyai permintaan tinggi," jelasnya.

Seorang lagi usahawan yang menerima GAM Anis Nadia Mohd Nasir, 37, beliau memulakan perusahaan penghasilan jus markisa dan roselle di bawah jenama Fruitjoey sejak 2017 lagi di Kampung Kulambai Kota Belud.

 Produk lain yang dihasilkan oleh jenama Fruitjoey.
PRODUK: Produk lain yang dihasilkan oleh jenama Fruitjoey.

Katanya, menerusi bantuan geran berkenaan, penghasilan produk jus syarikatnya lebih berkualiti.

"Sebelum ini, kami susah untuk mendapat jus tetapi selepas mendapat bantuan peralatan kami dapat mengawal kualiti dan pengeluaran produk jus.

"Selain itu, hasil pendapatan juga bertambah memandangkan kapasiti pengeluaran semakin bertambah dan persaingan pasaran juga tidak begitu membimbangkan kerana kami menggunakan hasil tanaman sendiri," jelasnya.

Anis berkata, cabaran yang dihadapi dalam perusahaan jus ini lebih kepada bekalan bahan mentah seperti roselle.

Melihat perkara itu, pihaknya kini menggalakkan para petani tempatan untuk menyediakan bekalan bahan yang diperlukan.

Menurutnya, permintaan tinggi juga sukar dipenuhi terutama pelanggan dari kawasan Kota Kinabalu yang sememangnya menggemari produk buatan tempatan.

Sehubungan itu, beliau merancang untuk membuka kawasan tanaman baharu bagi memperluaskan lagi pasaran sedia ada.

 Mazlee (dua kiri) menyambut ketibaan rombongan lawatan MAFI ke ladang tanaman limau kasturi miliknya.
TINJAUAN: Mazlee (dua kiri) menyambut ketibaan rombongan lawatan MAFI ke ladang tanaman limau kasturi miliknya.

Produk Fruitjoey merangkumi minuman buah-buahan, kordial markisa dan roselle, makanan kering untuk halwa roselle dan halwa kulit markisa.

GAM yang berbentuk barangan mampu meningkatkan pengeluaran hasil dan menambah pendapatan agropreneur muda.

Peruntukan GAM pada 2020 adalah sebanyak RM20 juta dengan sasaran usahawan muda seramai 1,200 orang tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement