Anda di sini

Bersatu Tawau harap isu pembubaran DUN berpihak kepada yang benar

Advertisement
 Nizam ketika memberikan ucapan perasmia dalam majlis tersebut.
UCAPAN: Nizam ketika memberikan ucapan perasmia dalam majlis tersebut.

TAWAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tawau berharap keputusan mahkamah berkaitan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berpihak kepada yang benar.

Ketuanya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kerajaan Warisan sudah berdepan kehilangan sokongan dari wakil rakyat sehingga bertindak mengambil keputusan seperti itu.

"Sistem negara, Yang Dipertua Negeri (TYT) boleh melantik Ketua Menteri (KM) tetapi tidak mempunyai kuasa memecat, malah yang boleh menggugurkan KM apabila secara sukarela meletak jawatan atau tidak lagi mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

"Sebab itu kes kesahihan jawatan Datuk Mohd Shafie Apdal sebagai KM masih berlangsung di mahkamah dan belum ada keputusan muktamad, kerana Tan Sri Musa Aman sebelum ini tidak meletak jawatan.

"Tetapi baru-baru ini DUN telah dibubarkan atas nasihat Mohd Shafie yang telah hilang sokongan majoriti, sebab itu kita harap ada keputusan terbaik,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persidangan Armada Bersatu Bahagian Tawau di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ini parti gabungan Perikatan Nasional (PN) memiliki 33 kerusi berbanding Warisan yang hanya mempunyai 32 kerusi.

"Sepatutnya yang mendapat majoriti ini yang memimpin negeri tetapi telah dibubarkan oleh Mohd Shafie sebab itu kes ini dibawa ke mahkamah untuk dinilai semula sama ada pembubaran ini boleh diterima atau tidak.

"Kami berdoa semoga keputusan mahkamah ini akan membuat keputusan yang menyebelahi PN kerana kami ada 33 kerusi sedangkan pihak sana ada 32 sahaja, sepatutnya kami yang bagi nasihat buat keputusan,"katanya.

Nizam berkata, apa pun keputusan yang akan diterima nanti, PN berazam akan komited, fokus dan bekerja sebagai pasukan untuk menukar kerajaan Warisan.

"Kerana kita telah rasa selama dua tahun ini, segala janji mereka terutamanya kepada orang muda hanya janji kosong.

"Mereka hanya mampu buat perasmian projek yang sudah dirancang dan dibuat oleh pemimpin dahulu serta hanya dilihat mahu mendapat nama sahaja,"katanya lagi.


 

  • oleh
  • Advertisement