Anda di sini

Statistik STB rekod peningkatan kehadiran pelancong ke Sabah

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Statistik Lembaga Pelancongan Sabah (STB) merekodkan kejayaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama kepada dunia.

Menteri Interim Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, tahun lalu (Januari - Disember 2019), Sabah mencatatkan 4,195,903 pelancong dengan anggaran penerimaan sebanyak RM9.0 bilion.

Hal ini mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus berbanding RM8.34 bilion pada tahun sebelumnya (Januari-Disember 2018).

“Dari jumlah terbabit (4,195,903) sejumlah 1,469,475 adalah pelancong antarabangsa, sementara selebihnya (2,726,428) terdiri pelancong domestik.

 “Sebanyak 4.195 juta kedatangan pelancong melebihi sasaran yang ditetapkan pada 2019 ( Iaitu 4.0 juta kedatangan pelancong),” katanya.

Menurutnya, prestasi pelancongan yang ketara ini disebabkan pertumbuhan pasaran sumber utama yang berterusan seperti pasaran domestik dan Korea Selatan, di samping peningkatan permintaan dari Negara Brunei dan Singapura.

“Sebenarnya 4.195 juta kedatangan (pelancong) pada tahun lalu melepasi sasaran yang ditetapkan (4.18 juta),” katanya.

Menurut beliau yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, kedatangan pelancong dari sepuluh buah negara teratas pada tahun lalu ialah China, Korea Selatan, Negara Brunei, Taiwan, Singapura, UK, Ireland, Jepun, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat.

Tahun lalu, Christina memimpin delegasi ke enam buah negara untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan untuk mendorong lebih ramai pelancong berkunjung ke Sabah.

“Usaha kami membuahkan hasil, contohnya ketibaan pelancong dari Brunei meningkat 39.7 peratus daripada 56,259 ( Januari-Disember 2018) hingga 78,605 (Januari- Disember 2019).

“Begitu juga dengan kedatangan pelancong Singapura mencatatkan pertumbuhan sebanyak 37.2 peratus daripada 25,102 kepada 34,435 sementara pelancong Jepun meningkat sebanyak 26.2 peratus daripada 19,357 kepada 24,435,” katanya.

Christina mengulas kenyataan ahli perniagaan Ng Chun Sua yang mendakwa beliau menerima banyak aduan termasuk kekurangan kemudahan awam dan bagaimana kerajaan mempromosikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

“Apakah Ng tahu apa yang beliau bicarakan…Sejak hari pertama, kerajaan sudah mempromosikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

“Seperti sekarang ini, Kota Kinabalu adalah pintu masuk ke Sabah dan pelbagai usaha sudah dilakukan untuk meningkatkan kedatangan pelancongan, seiring dengan trend global pelancongan bandar,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan projek Pembangunan Landskap Taman Kota antara rancangan lain yang tertangguh akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

  • oleh
  • Advertisement