Anda di sini

Nestlé Malaysia buka peluang pekerjaan kepada 500 belia menjelang 2021

Advertisement

KUALA LUMPUR:  Sempena Hari Belia Antarabangsa, Nestlé (Malaysia) Berhad telah menganjurkan sesi webinar yang membincangkan topik-topik semasa termasuklah ‘Kerjaya Semasa COVID-19’, sekali gus mengumumkan komitmennya untuk memberikan peluang pekerjaan kepada 500 orang belia menjelang 2021 baru-baru ini.

Pengumuman ini adalah sebahagian daripada usaha daripada syarikat tersebut untuk membantu serta memberi sokongan kepada kumpulan masyarakat yang terjejas terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) akibat pandemik ini. Usaha ini juga sejajar dengan cita-cita global Kumpulan Nestlé untuk membantu menyediakan peluang ekonomi kepada 10 juta golongan muda menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, pada masa yang mencabar ini, ramai rakyat Malaysia terkesan akibat kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

“Malah golongan muda Malaysia secara khusus terjejas akibat kekurangan peluang pekerjaan. Menerusi program-program ini, Nestlé bertekad untuk membentuk masa depan yang lebih lestari bagi belia Malaysia dan memainkan peranan mencungkil bakat generasi akan datang negara ini.”

“Dalam memperkukuhkan komitmen ini, sokongan kami terhadap belia diperluas menerusi peluang yang disediakan dalam program Pelatih Pengurusan, Latihan Amali dan Perantis. Selain daripada melengkapkan belia dengan kemahiran relevan dan meningkatkan peluang mereka diambil bekerja, sesungguhnya kami mahu memastikan peserta, terutamanya mereka daripada kumpulan B40, akan mempunyai sumber pendapatan stabil.”

“Pada masa sama, untuk mengatasi cabaran berikutan pandemik, Nestlé sedang menggiatkan latihan dalam talian menerusi program Latihan Amali Maya bagi memberikan latihan berterusan kepada para peserta,” katanya.

Nestlé juga akan terus menyediakan pengalaman praktikal menerusi acara-acara ‘kesediaan untuk bekerja’ dan meneroka lebih banyak peluang dengan bekerjasama bersama rakan niaga dan syarikat luar yang mendukung matlamat sama.

Usaha ini melengkapi program yang sedang dilaksanakan di bawah inisiatif global Nestlé Needs YOUth (Nestlé Memerlukan Belia), yang diperkenalkan pada 2013 untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), bagi menyediakan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat bagi golongan muda di serata dunia.

Pada 2019 sahaja, Nestlé telah mencapai kira-kira 60,000 belia Malaysia menerusi pelbagai progam Nestlé Needs YOUth, seperti program Keusahawanan Belia NESCAFÉ, Bakat Kulinari Muda NESTLÉ PROFESSIONAL, serta karnival dan program perbincangan kerjaya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program belia Nestlé dan cara untuk mengambil bahagian, layari www.nestle.com.my atau http://www.facebook.com/NestleCareersMY.

Advertisement