Anda di sini

Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga singkap isu akidah dan ajaran sesat

Advertisement
 

TERBAHARU menerusi slot Tiara, drama bersiri berjudul Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga sudah mula ditayangkan secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Drama bersiri Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada konflik gerakan golongan ekstremis dan feminis berlandaskan ideologi agama yang terpesong di negara Teluk dan Timur Tengah terbitan pihak Astro Prima dengan kerjasama syarikat produksi Nuansa Sdn Bhd.

Drama 35 episod arahan Shuhaimi Zulkefli ini turut mendapat sentuhan sutradara berkaliber, Osman Ali selaku Pengarah Kreatif serta Siti Jasmina Ibrahim selaku penulis skrip.

Drama ini turut menampilkan barisan pelakon handalan antaranya Elizad Syarifuddin, Dato’ Aaron Aziz, Aleza Shadan dan Dato’ Jalaluddin Hassan selaku teraju utama.

Drama Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga mengisahkan Inara (lakonan Elizad Sharifuddin) yang kembali bernafas setelah sudah diisytiharkan mati.

Setelah ‘dihidupkan semula’, Inara berubah dan mahu menjadi seorang Muslimah yang baik, seorang yang bukan dirinya sebelum ini.

Ibu bapa Inara, iaitu Asyirah (lakonan Aleza Shadan) dan Zaqwan (lakonan Dato’ Jalaluddin Hassan) gembira dengan perubahan Inara, namun apa yang diajar oleh mereka berkaitan agama menggelirukan Inara. Zaqwan merupakan ahli jemaah kumpulan ‘Gerakan Elit’.

Manakala Asyirah pula memperjuangkan ideologi kumpulan ‘Hawa Islam’ yang berbeza dengan golongan ekstremis ‘Gerakan Elit’.

Inara kemudian bertemu Hamzah (lakonan Dato’ Aaron Aziz), seorang penagih dadah yang positif HIV tetapi menjalani kehidupan yang sihat dengan menggunakan ubat ARV.

Hamzah mengusahakan sebuah kafe komuniti yang bertujuan untuk membantu penagih-penagih dadah di luar sana.

Apabila Hamzah bertemu Inara, dia tahu bahawa Inara adalah wanita yang terbaik untuk dirinya.

Walaupun Inara pada mulanya menolak untuk cinta Hamzah, dia berasa selesa dan selamat di samping Hamzah.

Mereka akhirnya bersetuju untuk berkahwin dan menyelamatkan ibu bapa Inara dari ajaran sesat yang dipraktikkan oleh mereka.

Hamzah mendapatkan sokongan dari gurunya di kampung, dan mereka membuat keputusan untuk menyertai kumpulan ajaran sesat tersebut dan mencari jalan untuk menyelamatkan ibu bapa Inara daripada kumpulan tersebut.

Namun, apa yang mereka pelajari daripada kumpulan tersebut sangat mengejutkan. Ahli-ahli ajaran sesat tersebut sangat licik, pengkhianat dan berkelakuan ganas.

Inara dan Hamzah berdepan dengan pelbagai cabaran dan banyak berkorban sepanjang mengikuti kumpulan tersebut.

Akhirnya, dengan rahmat Tuhan, mereka berjaya menyelamatkan ibu bapa Inara dari kumpulan tersebut.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima Norzeha Mohd Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Astro, berbeza dengan drama Melayu klise yang sering mengangkat konflik cinta dan perebutan kuasa, drama Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga mengangkat isu yang lebih berat dalam mengupas konflik akidah dan ancaman ideologi gerakan pemikiran sesat berlandaskan agama yang tersasar daripada ajaran Islam sebenar. Walaupun mengundang kontroversi.

“Namun kami percaya para penonton dapat mengambil iktibar dan menghargai nilai estetika seni yang ingin disampaikan menerusi drama ini,” kata beliau.

Lokasi utama penggambaran drama Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga telah dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta masih lagi dalam fasa penggambaran pada ketika ini.

Cabaran terbesar sepanjang penghasilan drama ini ialah penggambaran yang tertangguh ketika tempoh kritikal sewaktu arahan PKP dikeluarkan.

Namun, penggambaran drama ini akhirnya dapat disiapkan mengikut garis masa yang diberikan selepas mendapat kelonggaran daripada pihak berkuasa sewaktu tempoh PKPP dilaksanakan walaupun terikat dengan SOP yang ketat.

Untuk mengejar garis masa sekali gus mempercepatkan keseluruhan proses penggambaran, krew produksi yang terlibat telah dipecahkan kepada dua pasukan bagi memastikan drama ini dapat disudahkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Single ‘Luka’ nyanyian MADAM yang merupakan band pertama di bawah naungan syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini.

Advertisement