Anda di sini

WARISAN tidak tunggu lama selesai isu geran tanah rakyat

Advertisement
MA'MUN
MA'MUN

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak perlu menunggu hingga berpuluh tahun untuk menyelesaikan isu pemberian geran tanah kepada rakyat.

Ahli Parlimen Kalabakan Ma'Mun Sulaiman berkata, hanya dalam tempoh dua tahun, WARISAN mampu menyelesaikan isu berkenaan dan memulangkan tanah kepada rakyat.

Katanya, tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menjelajah ke seluruh Sabah untuk menyerahkan geran tanah sepatutnya tidak perlu dipertikaikan.

Menurutnya, tindakan parti lain yang mempersoalkan keikhlasan Ketua Menteri memulangkan tanah kepada rakyat, mungkin disebabkan syarikat kroni tidak lagi mampu menebang balak.

"Langkah Datuk Seri Shafie ini bukan baru sahaja, malah sejak awal tahun 2019 lagi beliau menjelajah ke seluruh Sabah untuk menyerahkan geran tanah itu.

"Tahun ini, ribuan hektar tanah dikeluarkan dari status Hutan Simpan Kekal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kerana ada perkampungan rakyat di situ.

"Kawasan saya di Kalabakan, selepas menjadi wakil rakyat barulah saya tahu ada penempatan kaum Murut di situ  sejak lebih 30 tahun lalu tetapi tiba-tiba sahaja menjadi setinggan kerana tanah itu diambil oleh kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan UMNO. Saya bawa masalah itu kepada Ketua Menteri untuk diselesaikan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kini kaum Murut di Kalabakan tidak lagi merempat di atas tanah sendiri selepas memperoleh geran tanah mereka.

Dalam pada itu, Ma'Mun turut menganggap kenyataan Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim yang mengkritik usaha WARISAN menyerahkan geran tanah kepada rakyat sebagai tindakan yang memalukan dan memualkan.

Menurutnya, selama 40 tahun, apa yang dilakukan PBS untuk menyesaikan isu berkenaan kalau bukan memberikan tanah kepada kroni sahaja.

"Sudah tentu Jahid sedang berkhayal dengan mendakwa pemberian geran tanah itu adalah hasil usaha Barisan Nasional (BN).

"Kalau betul mereka yang berusaha, perlukah rakyat menunggu sehingga 30 atau 40 tahun? Sedangkan WARISAN berjaya menyelesaikan masalah itu hanya dalam tempoh dua tahun.

"Saya tidak terkejut dengan kritikan Jahid kerana ia datang daripada PBS yang bersekongkol dengan UMNO dan menjadi dalang utama merompak hasil hutan Sabah untuk kepentingan mereka tanpa mempedulikan rakyat selama ini," jelasnya.

Beliau berkata, pihak terbabit juga mula memainkan isu COVID-19 untuk menghalang acara pemberian geran dianjurkan.

Katanya, pihak polis, Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa ada di setiap program untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Justeru, beliau mengingatkan kepada Jahid dan pihak lain yang turut sama mempertikaikan tindakan WARISAN sebaiknya berdiam diri sahaja.

  • oleh
  • Advertisement