Anda di sini

Teleport AirAsia lancar kempen sokong peniaga Malaysia Timur

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Cabang logistik AirAsia Bhd, Teleport melancarkan kempen baharu ‘Shop Sama Kamek’ untuk menyokong lebih ramai peniaga dari Malaysia Timur menjual produk makanan dalam talian di laman e-dagang AirAsia, OURSHOP pada September ini.

Ia diadakan bersempena kempen e-dagang Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun lepas yang dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata kempen baharu OURSHOP itu akan mengambil 300 peniaga perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia Timur bagi kategori makanan segar, sejuk beku dan dibungkus.

“Untuk memenuhi keperluan kempen itu dan menghidupkan kembali ekonomi tempatan, kami mendapat kebenaran kerajaan mewujudkan penghantaran rentas sempadan, usaha pemasaran dan latihan kepada para peniaga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.

Beliau berkata kempen itu bukan sahaja mempromosikan produk daripada peniaga Malaysia Timur kepada pelanggan, malah, mewujudkan kesedaran berhubung kemudahan memesan makanan segar, sejuk beku dan dibungkus dari Malaysia Timur ke Lembah Klang.

Syarikat itu berkata, menerusi kempen berkenaan, peniaga terpilih yang mendaftar dengan Teleport akan didaftarkan secara automatik dalam program pembangunan khusus oleh RedBeat Academy iaitu ‘BINA Digital’ untuk membantu meningkatkan kemahiran dan mengesahkan peniaga untuk menjual kepada pelanggan di kawasan lain di Malaysia dan peringkat serantau. - Bernama 

Advertisement