Anda di sini

Sabah rekod empat lagi kes baharu pada 12 Ogos

Advertisement
 Statistik jumlah kes COVID-19 yang menunjukkan penambahan empat kes baharu di Sabah.
COVID-19: Statistik jumlah kes COVID-19 yang menunjukkan penambahan empat kes baharu di Sabah.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan empat lagi kes baharu COVID-19 pada 12 Ogos menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini sebanyak 415 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, keempat-empat kes berkenaan membabitkan tiga kes di Sandakan dan satu kes di Tawau.

Menurutnya, kes di Tawau melibatkan wanita warga asing yang dikesan positif semasa aktiviti saringan orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Tawau dan seterusnya kes dimasukkan ke Hospital Tawau.

"Ketiga-tiga kes di Sandakan dikategorikan sebagai kes import A membabitkan seorang lelaki warga asing manakala dua lagi wanita tempatan.

"Kesemuanya dikesan positif semasa saringan untuk pengembara dari luar negara dan ketiga-tiga kes kini menjalani rawatan di Hospital Duchess of Kent," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Sandakan turut mengenal pasti kesemua kontak pesakit yang perlu menjalani saringan COVID-19.

Christina berkata, sehingga kini sebanyak 17 kes aktif masih menjalani rawatan di hospital manakala sebanyak 390 kes lagi dilaporkan sembuh di Sabah.

Katanya, pada 11 Ogos sebanyak 763 ujian dijalankan menjadikan kumulatif ujian COVID-19 bagi negeri ini sebanyak 157,984.

Selain itu pihaknya turut merekodkan seramai 737 orang yang masih aktif menjalani perintah kuaratin di rumah dan 349 orang lagi di stesen kuarantin seluruh Sabah.

Dalam pada itu, sebanyak 104 premis diperiksa semasa Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan tidak ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dilaporkan sepanjang operasi itu.

  • oleh
  • Advertisement